Latar belakang
Schistosomiasis ('bilharzia' atau 'demam siput') adalah penyakit bawaan air yang disebabkan oleh parasit yang dikenali sebagai flukes darah. Flukes darah dikeluarkan oleh siput air tawar dan menembusi kulit manusia (perenang dan lain-lain yang bersentuhan rapat dengan air). Di sini, mereka berhijrah ke dalam peredaran vena, menetap di pelbagai tapak tipikal seperti usus, pundi kencing, dan hati, di mana ia menyebabkan keradangan tempatan. Di dalam hati, mereka mengakibatkan fibrosis periportal batang paip Symmer, dengan komplikasi akibat peningkatan tekanan darah portal. Orang yang dijangkiti mungkin mengalami varises (salur darah yang membesar di dalam dinding esofagus dan perut). Pendarahan daripada varises ini tidak jarang berlaku dan boleh mengakibatkan kematian. Walaupun beberapa kaedah wujud untuk menghentikan pendarahan awal, ia mungkin berulang dengan risiko kematian yang sama seperti semasa pendarahan awal tanpa rawatan lanjut.
Rawatan barisan pertama untuk mencegah pendarahan semula varises adalah dengan ubat-ubatan (penghalang beta bukan selektif untuk menurunkan tekanan darah portal) digabungkan dengan kaedah endoskopik (penggunaan tiub panjang yang dipasang dengan kamera untuk mencari dan menutup varises dengan jalur elastik) . Ini melibatkan sesi rawatan berulang, justeru kejayaan rawatan sangat bergantung kepada pematuhan pesakit, yang di negara berpendapatan rendah mungkin dipengaruhi oleh faktor eko-sosial seperti kos pengangkutan.
Pembedahan adalah pilihan rawatan alternatif. Terdapat dua kategori pembedahan yang luas untuk mengurangkan risiko pendarahan berulang daripada varises: ini adalah sama ada shunt (saluran yang mengalihkan semua atau sebahagian daripada aliran darah dari hati ke peredaran darah umum) atau pembedahan devaskularisasi (pemutus sambungan saluran darah yang membesar di dinding esofagus dan perut). Mana-mana rawatan boleh dilakukan sebagai prosedur sekali sahaja untuk mengelakkan pendarahan semula varises. Walau bagaimanapun, tidak jelas yang mana antara rawatan ini menawarkan hasil terbaik.
Kami berhasrat untuk menentukan faedah dan kemudaratan shunt berbanding dengan devaskularisasi dalam mencegah pendarahan semula varises akibat schistosomiasis hati dan limpa.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati dua kajian klinikal rawak (jenis kajian di mana peserta diberikan kepada kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) melibatkan sejumlah 154 peserta dewasa yang menerima sama ada pembedahan shunt bukan selektif, pembedahan shunt terpilih, atau pembedahan devascularisation. Walau bagaimanapun, reka bentuk kedua-dua kajian adalah berkualiti tidak mencukupi, kerana bilangan peserta kajian adalah kecil, dan beberapa maklumat peserta kurang. Salah satu kajian dibiayai oleh geran institusi, dan cara pembiayaan diperoleh untuk kajian yang lain tidak jelas. Kami menilai kedua-dua kajian sebagai berisiko tinggi untuk risiko bias.
Keputusan utama
Tidak terdapat perbezaan yang ketara dalam bilangan peserta yang mengalami pendarahan berulang, kesan buruk rawatan, atau kematian antara kumpulan pembedahan shunt dan devascularization, tetapi peserta yang mengalami devascularization kurang berkemungkinan mengalami encephalopathy (penyakit otak akibat kerosakan daripada toksin yang dihasilkan oleh hati). Tiada satu pun daripada kajian tersebut menangani kualiti hidup selepas rawatan.
Kesimpulan
Memandangkan kepastian bukti yang sangat rendah disebabkan oleh cara kajian klinikal dijalankan, data kajian terhad dan peserta kajian, kami tidak dapat menentukan sama ada satu rawatan lebih baik daripada yang lain. Kami mencadangkan bahawa kajian masa depan termasuk bilangan peserta rawak yang mencukupi untuk dapat memperoleh hasil yang bermakna pada hasil yang berkaitan dengan pesakit dan membenarkan perbandingan objektif kedua-dua jenis pembedahan ini.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my