Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan sama ada intervensi berasaskan kesedaran (MBIs) iaitu intervensi yang melibatkan latihan meditasi kesedaran untuk memperbaiki gejala gangguan penggunaan bahan (SUD) (iaitu penggunaan alkohol dan/atau dadah, tetapi tidak termasuk gangguan penggunaan tembakau). Penyelidik Cochrane telah mengumpul, memilih dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Kami menemui 40 kajian rawak terkawal, yang menilai MBI sebagai rawatan untuk SUD.
Mesej utama
Hasil SUD dipantau pada titik masa yang berbeza: secara langsung selepas MBI tamat, dan pada titik masa susulan antara 3 bulan hingga 10 bulan selepas MBI tamat. Berbanding dengan intervensi lain (penjagaan piawai, terapi tingkah laku kognitif (CBT), psikopendidikan, kumpulan sokongan, senaman fizikal, ubat-ubatan), MBIs mungkin mengurangkan sedikit jumlah hari penggunaan bahan, tetapi adalah tidak pasti sama ada ianya mengurangkan hasil berkaitan SUD yang lain. Kesan MBIs berbanding tiada rawatan adalah sangat tidak pasti merentas semua hasil SUD yang dinilai, begitu juga dengan risiko kejadian buruk.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
SUD adalah sangat biasa dan dikaitkan dengan hasil kesihatan fizikal dan psikologi yang negatif. Walaupun intervensi berasaskan bukti ada untuk merawat SUD, rawatan piawai mungkin tidak mencukupi dan ramai individu mengulangi penggunaan bahan. Dalam beberapa dekad yang lalu, MBI telah diperiksa sebagai rawatan untuk SUD. MBIs melibatkan latihan dalam amalan meditasi kesedaran, yang menekankan penanaman kesedaran masa kini, yang tidak menghakimi. MBI boleh memperbaiki banyak pembolehubah psikologi yang terlibat dalam penggunaan bahan dan pengulangan (iaitu kemurungan, kebimbangan, tekanan, perhatian). Kami mengkaji sama ada MBIs memberi manfaat kepada individu dengan SUD.
Kami mencari kajian yang membandingkan MBI dengan tiada rawatan atau rawatan lain (contohnya terapi tingkah laku kognitif, psikopendidikan). Kami mengkaji keputusan pada akhir intervensi dan pada penilaian susulan, yang berlaku 3 hingga 10 bulan selepas berakhirnya intervensi.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penulis ulasan menemui 40 kajian yang berkaitan, di mana 45% tertumpu kepada individu dengan pelbagai SUD dengan baki kajian memasukkan peserta yang menggunakan bahan tertentu (contohnya alkohol, opioid). Daripada 40 kajian ini, 23 dijalankan di Amerika Syarikat, 11 dijalankan di Iran, dua dijalankan di Thailand, satu dijalankan di Brazil, satu dijalankan di China, satu dijalankan di Taiwan, dan satu dijalankan di kedua-dua Sepanyol dan Amerika Syarikat. Kami dapat menganalisis keputusan 35 kajian yang terdiri daripada 2825 peserta; lima yang lain tidak melaporkan keputusan yang boleh digunakan, dan permintaan kepada penulis untuk mendapatkan maklumat lanjut adalah tidak berjaya.
Apabila MBI dibandingkan dengan rawatan lain, semakan dan analisis kami menunjukkan bahawa MBI mungkin mengurangkan sedikit jumlah hari penggunaan bahan pada selepas rawatan dan susulan, dan menunjukkan pengekalan kajian yang serupa. Bukti adalah tidak pasti untuk hasil berkaitan SUD lain yang kami nilai (pantang berterusan, jumlah yang dimakan, intensiti keinginan). Apabila MBI dibandingkan dengan tiada rawatan, bukti adalah tidak pasti untuk semua hasil berkaitan SUD, walaupun MBI menunjukkan pengekalan rawatan yang sama. Kesan buruk hanya dilaporkan dalam empat kajian. Walau bagaimanapun, bukti yang ada tidak mencadangkan MBI mengakibatkan kejadian buruk atau kejadian buruk yang serius.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga April 2021.
Sumber pembiayaan kajian
Enam belas kajian melaporkan tiada pembiayaan. Kajian selebihnya melaporkan satu atau lebih sumber pembiayaan dan sokongan. Sembilan belas memperaku sumber persekutuan, tujuh memperaku geran dalaman, empat memperaku entiti bukan untung, dan dua memperaku klinik.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my