Soalan ulasan
Indomethacin (juga dikenali sebagai indometacin) adalah ubat yang menyebabkan vasokonstriksi, iaitu, menyebabkan saluran darah lebih sempit. Kami berminat untuk mengetahui sama ada merawat orang dewasa (18 tahun dan lebih) dengan indomethacin, berbanding dengan tidak diberi indomethacin, mempengaruhi tekanan yang dibangkitkan di dalam tengkorak (kranium) yang disebabkan oleh kecederaan otak traumatik yang teruk.
Latar belakang
Kecederaan otak traumatik berlaku apabila daya luaran mencederakan kepala. Trauma merosakkan otak dalam dua fasa yang berlainan; pertama, pada masa impak, dan kemudian pada minit dan hari selepas kecederaan, apabila tekanan dalam tengkorak meningkat (meningkatkan tekanan intrakranial). Ini adalah penting kerana peningkatan tekanan intrakranial adalah penyebab umum kematian dan kecacatan pada orang yang mengalami kecederaan otak. Dianggarkan bahawa kira-kira 11% orang yang mengalami kecederaan otak traumatik mati.
Indomethacin adalah ubat yang sesetengah penyelidik berfikir boleh mengurangkan tekanan intrakranial, dan meningkatkan pemulihan orang dengan kecederaan otak traumatik.
Tarikh carian
Kami mencari kajian terkawal secara rawak, yang memberikan bukti paling dipercayai, sehingga 23 Ogos 2019.
Ciri-ciri Kajian
Kami mendapati bahawa tiada kajian rawak, sama ada selesai atau berterusan, menyiasat soalan ulasan kami.
Keputusan-keputusan utama
Kami mendapati tiada kajian, sama ada selesai atau berterusan, yang menjawab soalan ulasan kami. Oleh itu, ulasan ini tidak dapat membuat kesimpulan mengenai kesan indomethacin pada peningkatan tekanan intrakranial, kadar kematian, kualiti hidup, kecacatan atau kesan buruk pada orang dewasa.
Kualiti bukti
Tiada bukti dari kajian rawak untuk membimbing profesional penjagaan kesihatan mengenai kesan (manfaat atau bahaya) menggunakan indomethacin untuk mengawal peningkatan tekanan intrakranial yang mengikuti kecederaan otak traumatik yang teruk pada orang dewasa. Oleh itu, tidak mungkin untuk menilai kualiti bukti.
Kesimpulan
Kami tidak pasti mengenai kesan indomethacin pada orang dewasa dengan kecederaan otak traumatik yang teruk. Ketidakhadiran bukti ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa indomethacin tidak berfungsi, tetapi bermakna bahawa kami tidak mengenal pasti penyelidikan yang layak untuk ulasan ini, dan bahawa kesan indomethacin belum ditentukan oleh kajian klinikal yang direka dengan baik.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my