Kemoterapi yang mengandungi gemcitabine untuk orang yang mempunyai kanser saluran hempedu tahap maju

Soalan ulasan

Apakah faedah dan kemudaratan kemoterapi berasaskan gemcitabine berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi atau kemoterapi berasaskan gemcitabine berbanding dengan kemoterapi tanpa gemcitabine pada orang dengan kanser saluran hempedu tahap maju?

Latar belakang
Kanser saluran hempedu (bermula dari saluran hempedu) adalah tumor malignan yang luar biasa. Pada kebanyakan orang, kanser saluran hempedu didiagnosis pada peringkat lanjut. Bagi mereka, pilihan rawatan termasuk ubat-ubatan (kemoterapi). Gemcitabine adalah ubat yang digunakan untuk merawat beberapa jenis tumor kanser, termasuk kanser saluran hempedu maju. Gemcitabine adalah ubat kemoterapi aktif, dan dalam kombinasi dengan cisplatin telah menjadi rawatan piawai yang diterima dalam penyakit ini.

Ciri-ciri kajian

Penulis ulasan mencari artikel perubatan yang diterbitkan untuk menjelaskan peranan gemcitabine (diberikan dengan suntikan ke dalam vena) berbanding dengan plasebo (bahan tidak aktif atau persediaan yang digunakan sebagai intervensi kawalan dalam eksperimen), atau tanpa intervensi, atau dengan kombinasi kemoterapi tanpa gemcitabine dalam rawatan orang dengan kanser saluran hempedu peringkat maju. Penulis ulasan mencari kajian klinikal rawak, di mana orang diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan, untuk melakukan analisis statistik dari mana untuk membuat kesimpulan mengenai intervensi. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2017.

Keputusan utama

Penulis ulasan menemui tujuh kajian klinikal rawak, dan menilai semua untuk risiko berat sebelah yang tinggi. Kajian-kajian ini membahagi secara rawak 600 orang dengan kanser saluran hempedu maju. Kebanyakkan kajian ini mencadangkan bahawa tiada perbezaan yang boleh dibuktikan dalam kedua-dua manfaat atau kemudaratan antara rejimen kemoterapi yang mengandung gemcitabine berbanding dengan kombinasi kemoterapi tanpa gemcitabine. Hanya satu kajian, membandingkan gemcitabine ditambah dengan cisplatin berbanding dengan S-1 ditambah dengan cisplatin mencadangkan bahawa rejimen yang mengandung gemcitabine mungkin mengurangkan kematian. Penulis ulasan mengenal pasti tiga kajian klinikal rawak yang sedang berterusan.

Berkenaan pembiayaan, dua daripada tujuh kajian itu ditaja oleh industri farmaseutikal, tiga tidak ditaja oleh industri, dan dua lagi kajian tidak memberikan maklumat mengenai pembiayaan.

Kualiti bukti dan kesimpulan

Bukti yang diperoleh daripada tujuh kajian rawak berkualiti rendah adalah tidak mencukupi untuk membuktikan sama ada atau tidak mengandungi kombinasi dengan gemcitabine lebih baik daripada kombinasi tanpa gemcitabine untuk orang dengan kanser saluran hempedu maju. Selain itu, gabungan berasaskan gemcitabine menunjukkan peningkatan dalam kejadian buruk yang tidak serius, terutamanya toksik hematologi (kerosakan pada darah dan tisu badan). Lebih banyak kajian klinikal rawak diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information