Perencat PCSK9 sebagai pencegahan penyakit kardiovaskular

Soalan penyelidikan

Apakah keberkesanan dan keselamatan perencat PCSK9 untuk mencegah penyakit kardiovaskular (CVD)?

Latar belakang

Walaupun terdapat ubat-ubatan yang berkesan (seperti statin (yang berfungsi dengan menyekat bahan yang diperlukan oleh tubuh untuk membuat kolesterol) atau ezetimibe (yang menghentikan tubuh mengambil kolesterol dari makanan), atau kedua-duanya) yang mengurangkan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) kolesterol (LDL-C) (juga dipanggil kolesterol 'jahat'), penyakit kardiovascular kekal sebagai penyebab penting punca kematian dan penyakit kronik. Cara bagi menurunkan tahap LDL-C kepada tahap yang lebih rendah mungkin diperlukan, terutama bagi mereka yang tidak responsif, atau tidak dapat menggunakan, terapi penurunan LDL-C yang sedia ada. Ubat-ubatan yang dinamakan sebagai perencat PCSK9 adalah cara lain yang dikenal pasti bagi menurunkan tahap LDL-C dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (CVD).

Ciri-ciri kajian

Pengarang ulasan mengenal pasti 23 kajian yang menilai keberkesanan ubat perencat PCSK9 ini, iaitu alirocumab dan evolocumab, dalam kalangan orang yang berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular. Kajian-kajian dilakukan di klinik-kilnik pesakit luar. Pengarang ulasan mengenal pasti kajian yang dimasukkan ke dalam ulasan ini melalui carian literasi elektronik yang dilakukan hingga Disember 2019. Ini adalah kemas kini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2017.

Keputusan utama

Kedua-dua ubat iaitu alirocumab dan evolocumab menurunkan risiko penyakit Kardiovaskular apabila ditambah kepada ubat penurun LDL-C lain (seperti statin atau ezetimibe). Alirocumab juga menunjukkan penurunan kadar kematian dengan apa apa sebab; tetapi tiada bukti yang cukup untuk evolocumab. Hanya terdapat data berkualiti rendah dan terhad, yang membandingkan diantara dua perencat PCSK9 ini dengan ubat penurun LDL-C lain. Perbezaan risiko di antara orang yang dirawat dengan perencat PCSK9 dan tanpanya menunjukkan manfaat rawatan mutlak yang sedikit sahaja (contoh. kurang daripada 1% perubahan risiko).

Kualiti bukti

Kami mendapati bukti berkualiti tinggi apabila menambah perencat PCSK9 kepada rawatan penurun LDL-C yang sedia ada dan bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah apabila mengganti ubat penurun LDL-C sedia ada dengan perencat PCSK9.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information