Ubat untuk merawat delirium dalam kalangan pesakit dewasa yang sakit kritikal

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti dari kajian rawak terkawal untuk manfaat dan keselamatan semua ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat pesakit dewasa yang kritikal di unit rawatan intensif (ICU) hospital.

Latar belakang

Delirium lazim dikaitkan dengan pembedahan, jangkitan, atau penyakit kritikal. Ia di alami sebagai permulaan baru, amnya tidak mampu berfikir dengan jelas untuk jangka pendek. Pesakit delirium beralih di antara tempoh pemikiran yang jelas dan tempoh agitasi dan/atau sangat mengantuk dan kekeliruan. Kurang tidur, sakit, persekitaran yang bising, kekangan fizikal, dan penggunaan sedatif dan analgesik yang kuat adalah beberapa faktor penyumbang. Delirium mempengaruhi kedua-dua hasil kesihatan jangka pendek dan jangka panjang pesakit kritikal kerana ia dapat meningkatkan tempoh keperluan mesin pernafasan, masa yang dihabiskan di ICU dan di hospital, dan peluang melemahkan fungsi dan kematian. Kemungkinan hasil buruk dengan delirium meningkat dalam kalangan pesakit yang lemah dan lanjut usia dengan kesukaran kognitif. Lazimnya, pesakit ICU yang meracau diberi ubat untuk membantu merawat gejala seperti agitasi.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga 21 Mac 2019. Kami mendapati 14 kajian rawak terkawal yang mendaftarkan sejumlah 1844 peserta dewasa. Enam kelas ubat-ubatan berbeza diuji. Ubat-ubatan tersebut adalah ubat antipsikotik yang diguna sebagai penenang di dalam sepuluh kajian; ubat sedatif alfa2agonis dexmedetomidine di dalam tiga kajian; statin yang mengurangkan kolesterol di dalam dua kajian; opioid sebagai sebahagian daripada pengurusan sakit di dalam satu kajian; antagonis serotonin untuk mual dan muntah di dalam satu kajian; dan perencat cholinesterase, ubat untuk penyakit Alzheimer, di dalam satu kajian. Sepuluh kajian membandingkan ubatan dengan plasebo - ubat yang tidak aktif juga dikenali sebagai pil gula; empat kajian membandingkan pelbagai ubat. Sebelas kajian dengan 1153 peserta melaporkan hasil utama ulasan ini - tempoh delirium.

Penemuan utama

Apabila kelas-kelas ubat dibanding dengan plasebo, hanya alfa 2 agonis dexmedetomidine didapati mengurangkan tempoh delirium, dan perencat cholinesterase rivastigmine memanjangkan tempoh delirium. Setiap keputusan ini adalah berdasarkan penemuan kajian tunggal yang kecil. Ubat-ubatan lain apabila dibanding dengan plasebo tidak mengubah tempoh delirium. Penulis ulasan menggunakan kaedah statistik meta-analisis rangkaian untuk membandingkan enam kelas ubatan yang berbeza. Dexmedetomidine tersenarai paling berkesan mengurangkan tempoh delirium, diikuti oleh antipsikotik atipikal. Walau bagaimanapun, meta-analisis rangkaian gagal untuk mengetepikan kemungkinan tiada perbezaan untuk semua enam kelas ubatan berbanding plasebo. Menggunakan kaedah ini, kami tidak mendapati sebarang ubat yang memperbaiki tempoh koma, tempoh inap, hasil kognitif jangka panjang, atau kematian. Alfa 2 agonis dexmedetomidine memendekkan masa penggunaan mesin pernafasan. Peristiwa buruk sering tidak dilaporkan dalam kajian-kajian atau jarang berlaku semasa pelaporan. Analisis pelaporan peristiwa menunjukkan peristiwa adalah serupa seperti yang dilaporkan dengan plasebo. Kami mendapati 10 kajian yang sedang berlangsung dan enam kajian yang menunggu klasifikasi, yang apabila diterbitkan dan dinilai, boleh mengubah kesimpulan ulasan ini.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah kecil tetapi reka bentuknya baik. Sembilan daripada 14 kajian tersebut dianggap berisiko bias rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information