Perbandingan pelbagai ambang pemindahan platelet sebelum kemasukan garis pusat dalam pesakit dengan jumlah platelet yang rendah

Soalan ulasan

Kami menilai bukti tentang sama ada orang dengan bilangan platelet yang rendah memerlukan pemindahan platelet sebelum kemasukan garis pusat (kateter vena pusat (CVC)), dan jika ya, apakah tahap bilangan platelet di mana pemindahan platelet diperlukan.

Latar belakang

Pesakit dengan bilangan platelet yang rendah sering memerlukan kemasukan garis pusat. Garis pusat adalah kateter di mana hujungnya biasanya terletak dalam salah satu daripada dua vena utama yang mengembalikan darah ke jantung. Ia mempunyai beberapa kegunaan termasuklah: memberi kemoterapi; pemantauan dan rawatan intensif untuk pesakit yang tenat; memberi nutrisi ke dalam vena (apabila pesakit tidak dapat makan); dan ketika pesakit memerlukan rawatan berulangan jangka masa panjang ke dalam vena. Amalan semasa dalam banyak negara adalah untuk meningkatkan bilangan platelet di atas tahap yang telah ditetapkan dengan pemindahan platelet untuk mengelakkan daripada berlakunya pendarahan serius akibat prosedur tersebut. Walau bagaimanapun, tahap bilangan platelet yang disyorkan sebelum kemasukan garis pusat berbeza dengan ketara dari negara ke negara. Ini bermakna bahawa pakar perubatan tidak pasti manakah tahap bilangan platelet yang betul, atau sama ada pemindahan platelet adalah diperlukan. Risiko pendarahan selepas kemasukan garis pusat kelihatan rendah jika doktor menggunakan ultrasound untuk membimbing kemasukan jarum. Oleh itu, pesakit mungkin akan terdedah kepada risiko pemindahan platelet tanpa sebarang manfaat klinikal yang jelas.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2015. Dalam ulasan ini terdapat satu kajian rawak terkawal yang dikenalpasti telah membandingkan pemindahan platelet pada bilangan platelet yang rendah (25 x 109/l) dengan pemindahan platelet pada bilangan platelet yang lebih tinggi (50 x 109/l) sebelum kemasukan garis pusat untuk mengelakkan pendarahan. Kajian ini masih sedang merekrut dan dijadualkan untuk selesai merekrut dalam Disember 2017. Tidak ada kajian yang membandingkan tiada pemindahan platelet dengan pemindahan platelet pada bilangan platelet yang telah ditetapkan.

Keputusan utama

Tidak ada hasil daripada satu kajian yang memenuhi syarat kerana ia masih sedang merekrut peserta. Kajian yang sedang dilaksanakan ini (dijangka akan merekrut 165 peserta) tidak akan dapat memberi data yang mencukupi untuk hasil utama ulasan ini kerana pendarahan serius dan kematian adalah jarang. Kita perlu mereka satu kajian dengan sekurang-kurangnya 4634 peserta supaya dapat mengesan peningkatan dalam orang yang mengalami pendarahan serius dari 1 dalam 100 ke 2 dalam 100.

Kualiti bukti

Tiada bukti dari kajian rawak terkawal untuk menjawab soalan-soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information