Latihan perlindungan kanak-kanak untuk para profesional bagi menambah baik pelaporan penderaan dan pengabaian kanak-kanak

Mesej utama

- Disebabkan kekurangan bukti kukuh, ianya tidak jelas sama ada latihan perlindungan kanak-kanak adalah lebih baik daripada tiada latihan atau latihan alternatif (contohnya latihan sensitiviti budaya) dalam meningkatkan pelaporan para profesional mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

- Kajian yang lebih besar dengan reka bentuk yang baik diperlukan untuk menilai kesan latihan dengan kumpulan profesional yang lebih luas.

- Penyelidikan masa hadapan harus membandingkan intervensi secara bersemuka dengan e-pembelajaran.

Mengapakah kita perlu menambah baik pelaporan penderaan dan pengabaian kanak-kanak?

Penderaan dan pengabaian kanak-kanak mengakibatkan kemudaratan yang ketara kepada kanak-kanak, keluarga, dan komuniti. Akibat yang paling serius ialah kematian kanak-kanak, tetapi akibat lain termasuklah kecederaan fizikal, masalah kesihatan mental, penyalahgunaan alkohol dan dadah, serta masalah di sekolah dan dalam pekerjaan. Banyak kumpulan profesional, seperti guru, jururawat, doktor, dan polis, dikehendaki oleh undang-undang atau dasar organisasi untuk melaporkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang diketahui atau disyaki kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak berkanun. Untuk menyediakan mereka bagi membuat laporan, pelbagai intervensi latihan telah dibangunkan dan digunakan. Ini boleh berbeza dalam tempoh, format, dan kaedah penghantaran. Sebagai contoh, mereka mungkin mensasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang petunjuk penderaan dan pengabaian kanak-kanak; tanggungjawab dan prosedur pelaporan; dan sikap terhadap tanggungjawab untuk melaporkan. Latihan sedemikian biasanya dijalankan selepas kelayakan sebagai satu bentuk pembangunan profesional yang berterusan; namun, tidak banyak yang diketahui sama ada latihan tersebut berkesan, sama ada dalam menambah baik pelaporan penderaan dan pengabaian kanak-kanak secara amnya, untuk kumpulan profesional yang berbeza, atau untuk jenis penderaan yang berbeza.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu:

- jika latihan perlindungan kanak-kanak menambahbaik pelaporan profesional mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak;

- apakah komponen latihan berkesan yang membantu para profesional melaporkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak; dan

- sama ada latihan mengakibatkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

- latihan perlindungan kanak-kanak tanpa latihan atau dengan kawalan senarai tunggu (mereka yang diletakkan dalam senarai menunggu untuk menerima latihan di kemudian hari); dan

- latihan perlindungan kanak-kanak dengan latihan alternatif (tidak berkaitan dengan penderaan dan pengabaian kanak-kanak, contohnya latihan sensitiviti budaya).

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 11 kajian yang melibatkan 1484 orang. Kajian-kajian ini melibatkan antara 30 hingga 765 peserta. Sembilan kajian dijalankan di AS, satu di Kanada, dan satu di Belanda. Beberapa jenis intervensi latihan yang berbeza telah diuji dalam kajian. Ada yang merupakan bengkel bersemuka, dengan tempoh daripada satu bengkel dua jam hingga enam seminar selama 90 minit yang dijalankan dalam tempoh sebulan; dan ada yang merupakan intervensi e-pembelajaran secara kendiri. Latihan ini dibangunkan oleh pakar dan disampaikan oleh fasilitator pakar, pakar bidang kandungan, atau pasukan antara disiplin. Sembilan kajian menerima pembiayaan luar: lima daripada agensi kerajaan persekutuan, dua daripada universiti dan organisasi kebajikan, satu daripada cabang kebajikan syarikat teknologi antarabangsa, dan satu daripada pertubuhan bukan kerajaan (pembangun intervensi latihan).

Keputusan utama

Tidak jelas sama ada latihan perlindungan kanak-kanak mempunyai kesan pada:

- bilangan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang dilaporkan (satu kajian, 42 peserta); atau

- bilangan kes yang dilaporkan berdasarkan kes hipotesis penderaan dan pengabaian kanak-kanak (dua kajian, 87 peserta).

Berdasarkan maklumat yang ada, kami tidak dapat menjawab persoalan kami sama ada latihan mempunyai kesan pada bilangan kes rasmi yang direkodkan oleh pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak, atau kualiti laporan tersebut; atau sama ada latihan memberikan sebarang kesan yang tidak diingini.

Latihan perlindungan kanak-kanak boleh meningkatkan pengetahuan para profesional tentang tugas, proses, dan prosedur pelaporan (satu kajian, 744 peserta). Namun, tidak jelas sama ada latihan perlindungan kanak-kanak mempunyai kesan pada:

- pengetahuan para profesional tentang konsep teras dalam penderaan dan pengabaian kanak-kanak secara amnya (dua kajian, 154 peserta);

- pengetahuan para profesional tentang konsep teras dalam penderaan seksual kanak-kanak secara khusus (dua kajian, 238 peserta);

- kemahiran para profesional dalam membezakan antara kes yang boleh dilaporkan dan tidak boleh dilaporkan (satu kajian, 25 peserta); atau

- sikap para profesional terhadap tanggungjawab untuk melaporkan (satu kajian, 741 peserta).

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan pada tahap rendah hingga sangat rendah terhadap bukti tersebut. Ini kerana keputusannya adalah berdasarkan sebilangan kecil kajian, yang sebahagiannya sudah lama dan mempunyai masalah kaedah. Sebagai contoh, orang yang terlibat dalam kajian tersebut tahu akan rawatan yang mereka perolehi, dan tidak semua kajian memberikan data untuk semua hasil yang kami minati. Di samping itu, analisis kami kadangkala hanya melibatkan satu kumpulan profesional, membataskan kebolehpakaian dapatan kami kepada kumpulan profesional yang lain.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 4 Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information