Apakah isunya?
Diabetes adalah punca penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang paling lazim. Akibat kekurangan fungsi buah pinggang dan perubahan dalam pembersihan ubat dan glukosa, merawat orang dengan diabetes dan CKD adalah mencabar. Terdapat peningkatan risiko hipoglisemia (gula darah rendah). Walau bagaimanapun, kebanyakan ubat yang merendahkan glukosa telah dikaji dalam kalangan orang dengan fungsi buah pinggang yang hampir normal. Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan ubat yang merendahkan glukosa dalam kalangan orang dengan diabetes dan CKD.
Apa yang kami lakukan?
Kami melihat kajian-kajian yang membandingkan antara pelbagai ubat-ubatan atau tanpa ubat-ubatan dalam kalangan orang dengan diabetes dan CKD.
Apakah yang kami dapati?
Kami memasukkan 44 kajian yang melibatkan 13,036 orang. Kebanyakan kajian membandingkan pelbagai jenis ubat - perencat natrium glukosa co-transporter-2 (SGLT2), perencat dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4), agonis peptida-1 (GLP-1) seperti glucagon, dan glitazone dengan tanpa rawatan. Dua kajian membandingkan ubat sitagliptin dengan glipizide.
Perencat SGLT2 mungkin mengurangkan paras glukosa, tekanan darah, kegagalan jantung dan paras kalium yang tinggi tetapi meningkatkan jangkitan genital dan mengurangkan sedikit fungsi buah pinggang. Perencat SGLT2 boleh mengurangkan berat badan. Kesan-kesannya terhadap risiko kematian, hipoglisemia, kecederaan buah pinggang akut, jangkitan saluran kencing, penyakit buah pinggang peringkat akhir, isipadu darah rendah, kepatahan tulang, ketoasidosis diabetes adalah tidak pasti.
Perencat DPP-4 boleh mengurangkan paras glukosa. Kesannya terhadap risiko kematian akibat serangan jantung dan strok, kegagalan jantung, jangkitan saluran pernafasan atas, masalah hati, fungsi buah pinggang, hipoglisemia, pankreatitis dan kanser pankreas adalah tidak pasti.
Agonis GLP-1 mungkin mengurangkan paras glukosa dan boleh mengurangkan berat badan. Kesan-kesannya terhadap fungsi buah pinggang, hipoglisemia, gejala gastrousus dan pankreatitis adalah tidak pasti.
Berbanding glipizide, sitagliptin mungkin mempunyai risiko hipoglisemia yang lebih rendah.
Tiada kesimpulan dapat dibuat mengenai ubat yang merendahkan glukosa lain jika dibanding dengan ubat lain atau tiada rawatan kerana kurangnya kajian-kajian.
Kesimpulan
Bukti tentang keberkesanan dan keselamatan agen merendakaan glukosa bagi orang dengan diabetes dan CKD adalah terhad. Perencat SGLT2 dan agonis GLP-1 mungkin berkesan untuk menurunkan paras glukosa. Kesan potensi lain perencat SGLT2 termasuklah BP yang lebih rendah, paras kalium yang rendah dan sedikit risiko kegagalan jantung tetapi terdapat peningkatan risiko jangkitan genital. Keselamatan agonis GLP-1 adalah tidak pasti.
Manfaat dan keselamatan kelas-kelas agen merendahkan glukosa lain adalah tidak pasti.
Lebih banyak kajian diperlukan untuk membantu tentang ubat merendahkan glukosa yang paling sesuai dalam kalangan orang dengan diabetes dan CKD.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com