Apakah faedah dan risiko supplemen vitamin D bagi individu dewasa dengan obesiti yang menjalani pembedahan penurunan berat badan?

Mesej utama

– Terdapat bukti terhad tentang manfaat suplemen vitamin D bagi individu dewasa dengan obesiti selepas pembedahan penurunan berat badan. Kami tidak yakin bahawa mengambil dos vitamin D yang tinggi atau sederhana selepas pembedahan penurunan berat badan meningkatkan tahap vitamin D atau mengurangkan penyakit kelenjar paratiroid (empat kelenjar sebesar kacang pis di leher yang mengawal tahap kalsium di dalam badan).

– Tiada data tentang risiko patah tulang, dan sedikit maklumat tentang perubahan kekuatan tulang atau kesan lain yang tidak diingini .

Mengapakah vitamin D diperlukan selepas pembedahan bariatrik?

Pembedahan penurunan berat badan (juga dipanggil pembedahan bariatrik) digunakan untuk mengawal obesiti dan masalah yang berkaitan dengan obesiti. Fungsi utamanya adalah dengan memintas sebahagian usus atau mengurangkan saiz perut supaya kurang penyerapan lemak daripada makanan. Satu kesan tidak diingini daripada pembedahan penurunan berat badan ialah kurang penyerapan vitamin D, vitamin yang penting dalam mengawal jumlah kalsium di dalam darah. Tahap vitamin D yang rendah di dalam darah akan mengurangkan jumlah kalsium dalam badan, sebahagiannya dengan menyebabkan kelenjar paratiroid di leher menjadi lebih aktif. Kelenjar ini kemudiannya menghasilkan lebih banyak hormon paratiroid, yang menyebabkan kalsium keluar/hilang dari tulang. Keadaan ini boleh menyebabkan tulang lemah dan patah tulang, yang akan mengurangkan kualiti hidup seseorang. Penambahan vitamin D dengan suplemen dijangka dapat membantu meningkatkan tahap vitamin D, mengurangkan kehilangan tulang dan berpotensi mengurangkan risiko patah tulang pada individu yang telah menjalani pembedahan penurunan berat badan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin melihat sama ada dos suplemen vitamin D yang berbeza , dibandingkan antara satu sama lain atau plasebo ( rawatan palsu), boleh mengurangkan risiko patah, meningkatkan tahap vitamin D dan mengurangkan tahap hormon paratiroid.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian tentang suplemen vitamin D dikalangan individu yang menjalani pembedahan penurunan berat badan. Kami meneliti kesan ke atas risiko patah, kesan tidak diingini, tahap vitamin D, kematian, kekuatan tulang, kualiti hidup dan kekuatan otot. Kami merumuskan dan membandingkan keputusan-keputusan dan menilai kualiti dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan lima kajian dengan 314 peserta (kebanyakannya wanita berumur kira-kira 40 hingga 50 tahun) dari negara Barat yang menjalani pembedahan penurunan berat badan. Kajian berlangsung antara tiga hingga 12 bulan.

Satu kajian membandingkan vitamin D dos sederhana dengan plasebo selama tiga bulan. Vitamin D dos sederhana boleh meningkatkan tahap keseluruhan vitamin D seseorang dan mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan pada tahap hormon paratiroid dibandingkan dengan plasebo (1 kajian, 79 orang). Tiada kesan tidak diingini dengan vitamin D dos sederhana tetapi penulis tidak melaporkan hasil daripada kumpulan plasebo . Tiada maklumat tentang patah tulang, kematian, kekuatan tulang, kualiti hidup atau kekuatan otot.

Dua kajian membandingkan vitamin D dos tinggi dengan vitamin D dos sederhana selama 12 bulan. Vitamin D dos tinggi boleh mengakibatkan peningkatan tahap vitamin D berbanding dos sederhana, tetapi bukti sangat tidak pasti. Kami sangat tidak pasti tentang kesan tidak diingini pada vitamin D dos tinggi (2 kajian, 81 orang), kematian (1 kajian, 60 orang), kekuatan tulang (1 kajian, 30 orang diukur pada pinggul dan 40 orang diukur pada lengan depan), atau paras hormon paratiroid (2 kajian, 72 orang). Tiada maklumat tentang patah tulang, kualiti hidup atau kekuatan otot.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah rendah atau sangat rendah kerana kami menemui beberapa kajian yang melibatkan sedikit sahaja peserta. Dos vitamin D adalah berbeza-beza di antara kajian-kajian. Kebanyakan bukti dilaporkan sejurus selepas pembedahan dan fokus pada tahap vitamin D dan tahap hormon paratiroid dan tidak memberikan data tentang semua perkara yang kami mahukan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information