Pelbagai dos dan jangkamasa penggunaan ubat oral bersteroid bagi serangan asma

Latarbelakang: Individu yang berpenyakit asma kadang-kala mengalami serangan asma di mana simptom seperti batuk, ketat dada dan kesukaran bernafas menjadi lebih teruk. Ramai pesakit asma dirawat dengan menggunakan ubat bersteroid, yang biasanya digunakan sebagai rawatan jangka pendek menggunakan ubat biji atau ubat cecair. Ubat steroid berfungsi mengurangkan keradangan saluran pernafasan di dalam paru-paru, namun ia memberi kesan sampingan (contohnya tumbesaran yang terbantut di kalangan kanak-kanak, hiperaktiviti, loya).

Soalan ulasan: Kami berusaha membandingkan pelbagai dos dan jangkamasa ubat oral bersteroid yang diberi kepada mereka yang mengalami serangan asma. Ini adalah isu penting kerana dos dan jangkamasa ubat oral bersteroid yang digunakan untuk menangani serangan asma berbeza dari negara ke negara yang lain, dan kami tidak mengetahui regim manakah yang berkemungkinan dapat menambahbaik simptom sambil mengurangkan kesan-kesan sampingan pada masa yang sama.

Ciri-ciri kajian:   Kami memasukkan 18 buah kajian yang melibatkan sebanyak 2438 orang dewasa dan kanak-kanak. Kajian-kajian tersebut membandingkan dua jenis ubat steroid- prednisolon dan deksametason - atau dua jenis dos ataupun perbezaan jangkamasa salah satu ubat. Kajian yang paling kecil melibatkan hanya 15 orang, dan yang terbesar 638. Kajian merangkumi penelitian terhadap subjek kajian sepanjang tujuh hari sehingga enam bulan untuk melihat apa yang terjadi kepada subjek tersebut. Bukti-bukti yang dipaparkan di sini adalah terkini sehingga April 2016.

Keputusan-keputusan utama: Adalah sukar untuk menggabungkan keputusan-keputusan kajian kerana penyelidik-penyelidik menggunakan dos dan jangkamasa steroid yang berbeza sambil mengukur keputusan-keputusan menggunakan pelbagai kaedah. Selain itu, perkara-perkara lain seperti kemasukan ke hospital dan kesan sampingan yang serius jarang berlaku dalam kajian-kajian tersebut. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk menentukan sama ada jangkamasa yang panjang atau pendek atau dos yang tinggi atau rendah adalah lebih baik atau selamat, atau adakah prednisolon secara amnya lebih baik atau teruk berbanding dengan deksametason. Sesetengah kajian adalah kajian yang lama dan tidak menggunakan dos dan jangkamasa steroid seperti yang digunakan oleh pengamal perubatan pada waktu kini.

Sebarang perubahan pada cara terkini rawatan serangan asma menggunakan ubat oral bersteroid perlu disandarkan kepada kajian-kajian yang lebih besar berbanding dengan yang dijalankan pada waktu kini.

Kualiti bukti: Bukti yang dipaparkan dalam ulasan ini secara amnya berkualiti rendah ataupun amat rendah, yang bermakna kami tidak pasti sama ada keputusan-keputusan tersebut adalah tepat, kebanyakannya kerana banyak kajian tidak dapat digabungkan. Sesetengah kajian tidak menghuraikan dengan jelas bagaimana pengurus kajian klinikal menentukan subjek yang manakah yang telah menerima dos steroid tertentu, di dalam sesetengah kajian, sama ada kedua-dua peserta dan pengurus kajian klinikal mengetahui dos yang manakah yang diterima. Hal ini boleh mempengaruhi hasil kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my.

Tools
Information