Latar belakang
Ramai pesakit dewasa dan kanak-kanak di unit rawatan rapi (ICU) tidak dapat bernafas dengan sendiri. Apabila ini berlaku, mereka akan diberikan sebuah alat bantuan pernafasan mekanikal untuk membantu mereka bernafas. Penggunaan alat bantuan pernafasan boleh membawa kesan buruk termasuklah trauma dan jangkitan paru-paru dan komplikasi dari keadaan mereka yang tidak dapat bergerak seperti masalah darah beku di kaki atau paru-paru. Oleh itu, para penyelidik telah mencari jalan untuk menghentikan alat bantuan penafasan (dengan mengurangkan bantuan pernafasan secara berperingkat) seawal dan selamat yang mungkin. Salah satu cara adalah dengan menggunakan garis panduan, atau protokol . Dua ulasan Cochrane terkini telah menggabungkan bukti dari kajian penyelidikan yang berbeza. Beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaan protokol berjaya mengurangkan jumlah masa yang digunakan pesakit pada alat bantuan pernafasan. Namun ada kajian-kajian yang merasakan penggunaan protokol tidak membawa apa-apa perbezaan kepada masa penggunaan mesin pernafasan. Hasil kajian yang berbeza ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Penyelidik yang menyiasat faktor ini telah menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif, yang pada kebiasannya melibatkan percakapan dengan seseorang atau melihat kelakuan mereka atau kedua-duanya.
Ulasan soalan
Apakah faktor yang mempengaruhi kakitangan kesihatan menggunakan protokol untuk mengurangkan bantuan pernafasan mekanikal dalam kalangan pesakit dewasa dan kanak-kanak?
Kaedah-kaedah
Untuk mengenalpasti kajian-kajian yang menggunakan kaedah kualitatif, kami telah mencari pangkalan data elektronik yang berkaitan pada Februari 2015. Kami juga telah mencari senarai artikel rujukan, menghubungi pengarang-pengarang untuk semua kajian yang terlibat dalam dua ulasan sebelum ini dan yang terlibat dalam sintesis kualitatif kami. Selain itu, kami juga menghubungi pakar dalam pengudaraan mekanikal. Kami telah menggabungkan hasil kajian yang relevan untuk menghasilkan satu sintesis bukti mengenai faktor yang mempengaruhi kakitangan kesihatan untuk menggunakan protokol. Kami kemudian menggabungkan sintesis kami dengan hasil dua ulasan awal untuk membantu dalam menjelaskan sebab mengapa beberapa kajian telah menunjukkan pengunaan protokol adalah berkesan dari yang lain-lain. Kami dapat berbuat demikian dengan mengemukakan penjelasan tentang bagaimana faktor berbeza dapat bersama untuk menggalakkan atau menghalang penggunaan protokol. Kami menggariskan penjelasan-penjelasannya menggunakan ' model logik '.
Penemuan-penemuan utama
Sintesis kami melibatkan 11 kajian yang mempunyai kira-kira 267 peserta. Lima lagi kajian sedang dalam proses klasifikasi. Kami mengenal pasti beberapa faktor penghalang dan penggalak dalam penggunaan protokol. Pertama, doktor menggunakan protokol hanya dalam keadaan tertentu; Jika tidak, mereka lebih gemar untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka sendiri. Jururawat yang kurang pengalaman sering tidak yakin. Protokol boleh menggalakkan penglibatan mereka dalam membantu mengurangkan bantuan pernafasan. Ini kerana protokol telah menggariskan arahan yang cukup jelas dan dapat membantu mereka untuk berasa lebih selamat. Walaupun jururawat yang lebih berpengalaman telah mengakui kesan positif ini, namun mereka telah mengkritik penggunaan protokol. Ini kerana kadangkala protokol mengarahkan mereka mengurangkankan bantuan pernafasan bercanggah dengan pertimbangan klinikal mereka sendiri. Kedua, peraturan praktikal untuk penjagaan pesakit di dalam ICU boleh membantu atau menghalang kakitangan kesihatan untuk bekerjasama. Ini seterusnya mempengaruhi sebaik mana sebuah protokol digunakan. Ketiga, penggunaan protokol mencerminkan bagaimana profesional bidang kesihatan berinteraksi dengan satu sama lain secara amnya. Sebagai contoh, tahap pengalaman seorang jururawat atau doktor boleh mempengaruhi keyakinan orang lain bahawa mereka boleh mengurangkan bantuan pernafasan dengan selamat. Atas sebab ini, doktor lebih cenderung untuk tidak melibatkan jururawat kerana mereka menganggap jururawat tidak berpengalaman dalam mengurangkan bantuan pernafasan, walaupun terdapat protokol sedia ada. Tambahan pula, tanggapan bahawa doktor menduduki status profesional yang lebih tinggi dalam bidang kesihatan menghalang jururawat yang untuk mengurangkan bantuan pernafasan walaupun dengan menggunakan protokol, kecuali jika doktor yang bekerja dengannya membenarkannya.
Kualiti bukti kajian
Kami menghasilkan 35 penyata ringkasan. Daripada ini: kami telah menilai 17 daripadanya adalah pada tahap 'keyakinan rendah', Ini kerana sebahagian besarnya menggunakan bukti yang datang daripada bilangan kecil kajian. Kami telah menilai 13 daripadanya pula pada tahap keyakinan 'sederhana ' kerana sebahagian besar buktinya menggunakan kajian yang sangat baik. Selain itu, kami menilai lima daripadanya pada tahap 'keyakinan tinggi’ kerana kebanyakan mereka menggunakan bukti kajian daripada majoriti kajian.
Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com. Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus).