Apakah ketepatan ujian dalam mengukur tahap feritin (protein yang menyimpan zat besi) dalam darah untuk mendiagnosis kekurangan zat besi dan zat besi berlebihan?

Mesej utama

- Ujian yang mengukur tahap feritin dalam darah mungkin cukup tepat untuk mendiagnosis kekurangan zat besi (tahap zat besi rendah) dalam kalangan orang yang:

- mencari rawatan perubatan; dan

- yang doktornya mengesyaki kekurangan zat besi.

- Ketepatan ujian darah feritin untuk mendiagnosis kelebihan zat besi (tahap zat besi tinggi) tidak jelas, kerana kurangnya bukti yang kukuh.

- Untuk mengukuhkan lagi bukti, kami memerlukan kajian masa depan untuk:

- menyiasat populasi yang lebih luas; dan

- mengenalpasti tahap-tahap feritin dalam darah yang merupakan petunjuk terbaik kekurangan zat besi dan berlebihan.

Mengapa penting untuk mendiagnosis kekurangan dan berlebihan zat besi?

Zat besi adalah mineral penting yang ditemui dalam setiap sel badan. Ia boleh didapati dalam makanan yang kaya zat besi seperti daging merah, kacang dan bijirin yang diperkaya (yang mana zat besi telah ditambahkan secara buatan), antara lain, atau dari makanan tambahan (tablet zat besi, serbuk mikronutrien, titis atau sirap). Tubuh memerlukan zat besi untuk membuat:

- sel darah merah; dan

- hemoglobin, iaitu protein dalam darah yang membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan.

Ujian zat besi dapat menunjukkan jika seseorang mempunyai zat besi yang terlalu sedikit (kekurangan zat besi) atau terlalu banyak zat besi (zat besi berlebihan). Adalah penting untuk menguji tahap zat besi kerana:

- Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia (sel darah merah atau hemoglobin berada pada tahap yang rendah), keletihan dan lemah. Ini boleh menjadi tanda bahawa seseorang itu mempunyai masalah kesihatan yang serius, seperti pendarahan dalaman; sementara itu

- Lebihan zat besi boleh merosakkan hati, jantung dan organ lain secara kekal.

Ujian apakah yang boleh digunakan untuk mendiagnosis kekurangan zat besi dan zat besi berlebihan?

Terdapat beberapa ujian yang berbeza untuk memeriksa tahap zat besi dalam badan. Ujian yang paling tepat melibatkan penggunaan jarum untuk mengumpulkan sampel kecil yang terdiri daripada:

- cecair sumsum tulang (untuk mendiagnosis kekurangan zat besi); atau

- tisu dari hati (untuk mendiagnosis kelebihan zat besi).

Walau bagaimanapun, ujian ini mahal dan berisiko bagi orang yang kurang sihat.

Ujian yang lebih mudah melibatkan pengukuran tahap feritin (protein yang menyimpan zat besi) dalam darah, untuk menganggarkan jumlah zat besi dalam tubuh.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ujian darah feritin dapat mendiagnosis kekurangan zat besi dan zat besi berlebihan dengan tepat.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan ujian darah ferritin dengan:

- ujian tahap zat besi dalam sumsum tulang, untuk mendiagnosis kekurangan zat besi; dan

- ujian tahap zat besi dalam hati, untuk mendiagnosis zat besi berlebihan.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami memasukkan 72 kajian terhadap 6059 orang yang menyiasat kemampuan ujian darah feritin untuk mendiagnosis:

- kekurangan zat besi dalam kalangan orang yang mencari rawatan perubatan dan yang doktornya disyaki kekurangan zat besi (70 kajian, 5709 orang);

- kekurangan zat besi pada orang tanpa tanda-tanda penyakit (lima kajian, 350 orang); dan

- zat besi berlebihan yang disyaki oleh doktor (36 kajian, 1927 orang).

Bukti menunjukkan bahawa ujian darah feritin mungkin agak tepat untuk mendiagnosis kekurangan zat besi pada orang yang mencari rawatan perubatan. Sebagai contoh, dalam kajian di mana orang yang mempunyai kurang dari 30 mikrogram feritin dalam satu liter darah didiagnosis kekurangan zat besi, ujian darah feritin dengan tepatnya mengenalpasti:

- kekurangan zat besi pada empat daripada lima orang yang mengalami kekurangan zat besi; dan

- tiada kekurangan zat besi pada 19 daripada 20 orang yang mempunyai tahap zat besi yang normal.

Bukti ini tidak cukup kukuh untuk menentukan sama ada ujian darah feritin dapat mendiagnosis dengan tepat:

- kekurangan zat besi pada orang tanpa tanda-tanda penyakit (lima kajian, 350 orang); dan

- zat besi berlebihan yang disyaki oleh doktor (36 kajian, 1927 orang).

Apakah batasan bukti tersebut?

Kajian-kajian tersebut adalah:

- kecil;

- dijalankan dengan cara yang mungkin menyebabkan ketidaktepatan pada keputusannya; dan

- memberi tumpuan kepada populasi tertentu (seperti kanak-kanak, orang muda dan wanita hamil).

Atas sebab-sebab ini, kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap bukti tersebut.

Seberapa terkinikah bukti ini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Shuhada Muhammad Sidik (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information