Penutupan primer (jahitan segera) berbanding penutupan yang dilewatkan (jahitan lewat) atau tiada penutupan (tiada jahitan) bagi luka trauma yang disebabkan oleh gigitan mamalia.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada gigitan haiwan sembuh lebih baik apabila dijahit segera (penutupan primer), atau apabila luka tersebut dibiarkan terbuka untuk sembuh buat sementara sebelum penutupan dilakukan (penutupan lewat) atau tidak dijahit terus (tiada penutupan). Kami ingin tahu luka manakah yang sembuh terpantas, dan jika kaedah penutupan mempengaruhi kecenderungan untuk jangkitan, kemunculan parut, tempoh pesakit inap di hospital, dan kesan sampingan serius seperti kematian. Untuk menjawab soalan ini, kami telah mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang relevan (kajian rawak terkawal). Kajian rawak terkawal adalah kajian perubatan di mana peserta kajian dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kajian jenis ini menyediakan bukti kesihatan yang paling dipercayai. Kami menemui empat kajian yang relevan.

Mesej utama

Kesemua kajian yang kami temui adalah mengenai gigitan anjing. Berkenaan jangkitan luka, kami tidak pasti sama ada lebih baik untuk menutup luka dengan segera, atau menunggu seketika sebelum melakukan jahitan, ataupun membiarkan luka tersebut tanpa dijahit. Terdapat sedikit perbezaan dari segi kemunculan parut gigitan. Kebanyakan bukti yang ditemui adalah kepastian rendah kerana saiz kajian dan kaedah yang digunakan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Luka gigitan haiwan mamalia seperti anjing, kucing dan monyet adalah masalah lazim di seluruh dunia. Di negara maju, kebanyakan luka gigitan adalah disebabkan oleh haiwan domestik. Di negara berpendapatan lebih rendah, gigitan juga boleh disebabkan oleh haiwan liar. Majoriti gigitan tersebut dilakukan oleh anjing. Luka gigitan berisiko tinggi untuk jangkitan kerana mikrob dipindahkan dari mulut haiwan ke dalam luka tersebut. Di negara berpendapatan rendah, jangkitan luka boleh membawa komplikasi serius dan kematian dalam sesetengah kes.

Prioriti utama apabila merawat gigitan haiwan adalah untuk memberhentikan aliran perdarahan dari luka, melegakan sakit, dan mencegah jangkitan. Ini termasuk memberi vaksinasi yang sesuai terhadap tetanus dan rabies. Sering disyorkan luka gigitan tidak dijahit terus jika jamgkitan disyaki, kerana penutupan luka yang dijangkiti boleh melambatkan proses penyembuhan dan berpotensi fatal.

Apakah keputusan utama ulasan?

Pada Julai 2019, kami mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan penutupan primer dengan penutupan lewat atau tiada penutupan bagi luka gigitan mamalia. Kami mendapati empat kajian yang relevan tentang gigitan anjing. Kajian-kajian tersebut dijalankan di UK, Greece dan China. Tiada kajian berkaitan mamalia lain ditemui. Tiga daripada kajian tersebut membandingkan penutupan primer dengan sutur (jahitan segera) dengan tiada penutupan bagi luka gigitan anjing. Satu kajian lagi membandingkan penutupan primer dengan penutupan lewat bagi gigitan anjing. Peserta kajian-kajian tersebut disusuli dari 14 hari hingga tiga bulan. Secara keseluruhan, peserta dari kedua-dua jantina dan semua kumpulan usia dilibatkan.

Kami tidak pasti sama ada penutupan primer bagi luka gigitan anjing meningkatkan kadar luka yang bebas jangkitan berbanding tiada penutupan (bukti kepastian sangat rendah dari dua kajian dengan sejumlah 782 peserta) dan dibandingkan dengan penutupan yang lewat (bukti kepastian sangat rendah dari satu kajian dengan sejumlah 120 peserta). Terdapat sedikit perbezaan untuk kemunculan luka gigitan anjing apabila penutupan primer dibandingkan dengan tiada penutupan (bukti kepastian sederhana dari satu kajian dengan sejumlah 182 peserta). Tiada satu pun dari kajian-kajian tersebut melaporkan kadar luka yang sembuh, jangka masa yang diambil bagi luka untuk sembuh, tempoh inap di hospital atau kesan buruk. Bilangan orang dalam kajian-kajian tersebut adalah kecil, dan orang yang menilai hasilnya mengetahui akan jenis rawatan yang diberi. Kedua-dua ini adalah sebab mengapa keputusan adalah tidak pasti.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Julai 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information