Peristiwa buruk dalam kalangan orang yang mengambil antibiotik makrolida

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui jika orang yang dirawat dengan antibiotik makrolida mengalami lebih banyak peristiwa buruk berbanding mereka yang dirawat dengan plasebo.

Latar belakang

Antibiotik makrolida adalah sekumpulan antibiotik yang lazim diguna untuk merawat jangkitan akut dan kronik. Empat makrolida yang paling kerap diguna ialah azithromycin, clarithromycin, eritromisin, dan roxithromycin. Orang yang mengambil antibiotik makrolida berisiko mengalami kejadian buruk seperti mual, cirit-birit, atau ruam.

Tarikh carian

Kami mencari kesusasteraan sehingga Mei 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 183 kajian, dengan sejumlah 252,886 peserta. Kebanyakan kajian-kajian dijalankan dalam persekitaran hospital. Azithromycin dan eritromisin lebih banyak dikaji berbanding clarithromycin dan roxithromycin. Kebanyakan kajian (89%) melaporkan beberapa peristiwa buruk, atau sekurang-kurangnya menyatakan tiada peristiwa buruk diperhatikan.

Sumber pembiayaan kajian

Syarikat ubat membekalkan ubat atau pembiayaan kajian, atau kedua-duanya, dalam 91 kajian. Sumber pembiayaan tidak jelas dalam 59 kajian.

Keputusan-keputusan utama

Orang yang dirawat dengan antibiotik makrolida mengalami kesan buruk gastrousus seperti mual, muntah, sakit perut, dan cirit-birit lebih kerap daripada mereka yang dirawat dengan plasebo.

Gangguan rasa lebih kerap dilaporkan oleh orang yang mengambil makrolida daripada mereka yang mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, sangat sedikit kajian yang melaporkan kejadian-kejadian buruk tersebut, maka keputusan-keputusan ini harus diterjemah dengan berhati-hati.

HIlang pendenngaran lebih kerap dilaporkan oleh mereka yang mengambil antibiotik makrolida, walau bagaimanapun hanya empat kajian yang melaporkan hasil ini.

Makrolida menyebabkan batuk kurang dan kurang jangkitan saluran pernafasan berbanding plasebo.

Kami tidak menemui sebarang bukti bahawa makrolida menyebabkan lebih banyak masalah jantung, gangguan hati, jangkitan darah, jangkitan kulit dan tisu lembut, perubahan enzim hati, kehilangan selera, pening, sakit kepala, gejala pernafasan, gatal-gatal, atau ruam berbanding plasebo.

Kami tidak menemui lebih banyak kematian dalam kalanga orang yang dirawat dengan makrolida berbanding mereka yang dirawat dengan plasebo.

Maklumat yang sangat terhad yang tersedia untuk menilai jika orang yang dirawat dengan antibiotik makrolida mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengembangkan rintangan bakteria terhadap antibiotik berbanding mereka yang dirawat dengan plasebo. Walau bagaimanapun, bakteria yang tidak respon kepada antibiotik makrolida lebih kerap dikenal pasti dengan segera selepas rawatan dalam kalangan orang yang mengambil makrolida berbanding mereka yang mengambil plasebo, tetapi perbezaan rintangan selepas itu adalah tidak konsisten.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari sangat rendah (gangguan jantung, perubahan dalam enzim hati, gangguan hati) hingga rendah (sakit perut, kematian, cirit-birit, pening, hilang pendengaran, jangkitan kulit dan tisu lembut, gangguan rasa, nafas berdehit) hingga sederhana (kehilangan selera, jangkitan darah, batuk, demam, sakit kepala, gatal-gatal, loya, ruam, gejala pernafasan, jangkitan saluran pernafasan, muntah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information