Bronkodilator yang disampaikan oleh penebula berbanding penyedut untuk serangan paru-paru penyakit paru-paru obstruktif kronik

Soalan ulasan

Apabila seseorang mengalami serangan paru-paru akibat penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), adakah penyedut dengan peruang sebaik penebula?

Latar belakang

Seseorang yang mengalami serangan paru-paru mengalami sesak nafas kerana saluran udara sempit. Bronkodilator adalah sejenis ubat yang membantu membuka saluran udara ini, tetapi cara terbaik untuk menyampaikannya ke tubuh badan tidak diketahui. Kami mencari peranti penyampaian terbaik semasa serangan paru-paru, memfokuskan sama ada terdapat perbezaan di antara penebula basah, yang membolehkan orang bernafas dalam ubat-ubatan sebagai kabut menggunakan topeng atau pelekap mulut, berbanding dengan penyedut.

Apakah bukit yang kami perolehi?

Kami mendapati lapan kajian termasuk 250 peserta dalam pencarian kajian sedia ada sehingga 1 Julai 2016. Semua kajian berlaku di hospital.

Apakah yang diberitahu oleh kajian-kajian tersebut?

Hasil utama ulasan tidak menunjukkan perbezaan antara penyedut dengan peruang dan penebula. Walau bagaimanapun, dalam hasil sekunder, kami mendapati beberapa bukti rawatan penebula memperbaiki fungsi paru-paru lebih daripada penyedut dengan peruang, tetapi kualiti dan kuantiti data adalah terhad. Kami mendapati tiada perbezaan di antara terapi dari segi kesan sampingan atau untuk mengurangkan sesak nafas. Tiada kajian sedia ada untuk menguji penyedutan serbuk kering berbanding penebula.

Kesimpulan

Disebabkan kualiti dan kuantiti data yang rendah, adalah tidak jelas sama ada penebula atau penyedut dengan peruang lebih baik untuk serangan paru-paru. Kami mendapati tiada perbezaan di antara penyedut dengan peruang dan penebula dalam fungsi paru-paru selepas satu jam atau kesan sampingan yang tidak diingini semasa serangan paru-paru COPD. Hasil sekunder untuk fungsi paru-paru menyokong penebula berbanding penyedut dengan peruang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information