Rehabilitasi jantung berasaskan senaman untuk pesakit dewasa dengan implan defibrilator kardioverter

Soalan ulasan

Kami mengulas manfaat dan mudarat program rehabilitasi jantung berasaskan senaman dalam kalangan orang dewasa yang telah dirawat dengan implan defibrilator kardioverter akibat sebarang sebab.

Latar belakang

Implan defibrilator kardioverter adalah peranti yang sangat efektif mencegah kematian jantung mengejut. Ini dilakukan dengan mengguna sama ada penjangkahan anti-takikardia, terapi kejutan bervoltan tinggi, atau kedua-duanya. Walaupun berpotensi untuk manfaat mortaliti, pesakit juga mungkin mengalami impak negatif terhadap kualiti hidup berkaitan kesihatan, peningkatan kadar kemasukan semula ke hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan, hilang produktiviti dan pendapatan pekerjaan, dan peningkatan morbiditi dan mortaliti. Rehabilitasi jantung berasaskan senaman boleh memanfaatkan pesakit dengan implan defibrilator kardioverter.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal (eksperimen di mana peserta secara rawak dimasukkan ke dalam kumpulan intervensi eksperimen berbanding dengan intervensi kawalan) yang menyelidik intervensi berasaskan senaman berbanding kawalan tiada intervensi senaman. Kami mendapati lapan kajian yang diterbitkan dari 2004 hingga 2017 dengan sejumlah 1730 peserta. Dua kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan dan satu kajian melaporkan sumber pembiayaan daripada industri. Bukti adalah dari terkini sehingga 30 Ogos 2018.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini tidak menunjukkan bukti impak terhadap risiko kematian, kesan sampingan berbahaya atau penjangkahan antitakikardia atau terapi kejutan apabila membandingkan intervensi senaman dengan kawalan. Terdapat juga sedikit atau tiada bukti perbezaan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat penambahbaikan dalam kapasiti senaman yang berpihak kepada kumpulan senaman.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dalam julat sederhana hingga sangat rendah untuk semua hasil. Bilangan peristiwa adalah rendah, terdapat kemungkinan orang-orang dalam kajian tahu kumpulan intervensi yang dirawakkan, pelaporan keputusan tidak lengkap di dalam sesetengah kajian, dan untuk beberapa hasil, keputusannya berbeza-beza merentasi semua kajian-kajian. Pertimbangan-pertimbangan ini telah menghadkan keyakinan kami di dalam keputusan keseluruhan ulasan ini.

Kesimpulan

Kajian rawak lanjutan yang lebih baik dan kuat perlu dijalankan untuk menilai impak rehabilitasi jantung berasaskan senaman dalam kalangan dewasa dengan implan defibrilator kardioverter.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam linoby (Universiti Teknologi MARA, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information