Bolehkah peringatan mesej teks membantu orang dengan penyakit jantung mengambil ubat mereka dengan regular?

Mesej utama

Akibat kekurangan bukti kukuh , manfaat pemesejan teks untuk kepatuhan ubat-ubatan, peristiwa kardiovaskular yang membawa maut (kematian akibat penyakit jantung), peristiwa kardiovaskular yang tidak membawa maut ( komplikasi jantung atau strok), peristiwa kardiovaskular gabungan (kematian akibat penyakit jantung, komplikasi jantung, atau strok), kolesterol, tekanan darah dan kadar degupan jantung adalah tidak jelas.

Kajian lebih besar dan direka bentuk dengan baik diperlukan untuk mengukur kesan jangka panjang pemesejan teks untuk memperbaik kepatuhan ubat-ubatan dalam kalangan orang dengan penyakit jantung, terutama di negara berpendapatan rendah.

Mengapakah ulasan in penting?

Sekurang-kurangnya 523 juta orang menghidap penyakit jantung di seluruh dunia. Ubat-ubatan sering dipreskrib untuk merawat keadaan ini. Walau bagaimanapun, majoriti orang tidak mengambil ubat-ubatan yang perlu untuk mengelakkan lebih banyak masalah jantung. Satu kaedah yang mungkin untuk memperbaik tingkah laku pengambilan ubat-ubatan adalah dengan peringatan berasaskan mesej teks. Pemesejan teks telefon bimbit boleh membantu orang dengan penyakit jantung mengambil ubat-ubatan mereka dengan menghantar maklumat kesihatan dan peringatan teks. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pemesejan teks boleh membantu orang dengan penyakit jantung mengambil ubat-ubatan mereka dengan regular.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada pemesejan teks berkesan dalam memperbaik kepatuhan ubat-ubatan dalam kalangan orang dengan penyakit jantung berbanding orang yang tidak menerima mesej teks. Kami juga berminat dengan kesan pemesejan teks terhadap peristiwa kardiovaskular yang membawa maut (kematian akibat penyakit jantung), peristiwa kardiovaskular yang tidak membawa maut ( komplikasi jantung atau strok), peristiwa kardiovaskular gabungan (kematian akibat penyakit jantung, komplikasi jantung atau strok), tekanan darah, kolesterol, dan kadar degupan jantung.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian kesan pemesejan teks telefon bimbit terhadap kepatuhan ubat-ubatan dalam kalangan orang dengan penyakit jantung.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 18 kajian yang melibatkan 8136 orang dengan penyakit jantung. Kajian ini dijalankan di 11 negara. Semua kajian membandingkan mesej teks dengan tidak menggunakan mesej teks.

Keputusan utama

Semua kajian berlangsung di negara berpendapatan sederhana dan tinggi, tiada kajian yang dilakukan di negara berpendapatan rendah. Para peserta mempunyai pelbagai jenis penyakit jantung dan purata umur adalah 53 hingga 64 tahun. Kebanyakan orang adalah dari hospital atau fasiliti rehabilitasi jantung. Kajian berlangsung selama satu hingga 12 bulan. Kaedah penyampaian dan kekerapan mesej teks berbeza antara kajian-kajian. Sesetengah kajian menghantar mesej teks yang disesuaikan dengan ciri-ciri pesakit dan membenarkan orang membalas mesej tersebut. Kandungan mesej teks juga berbeza-beza merentasi kajian-kajian. Umumnya, mesej teks disertakan peringatan ubat-ubatan dan maklumat gaya hidup sihat seperti diet, aktiviti fizikal dan penurunan berat badan.

Kajian-kajian menggunakan pelbagai cara untuk mengukur dan mendefinisi kepatuhan ubat-ubatan, yang menghalang kami gabungkan penemuan kajian-kajian untuk hasil ini. Akibatnya, kesan gabungan pemesejan teks terhadap pematuhan ubat-ubatan tidak diketahui. Daripada 18 kajian yang disertakan,10 kajian menunjukkan pemesejan teks berkesan memperbaik kepatuhan ubat-ubatan. Lapan kajian yang lain menunjukkan sama ada pengurangan atau tiada perbezaan dalam kepatuhan ubat-ubatan berbanding orang yang tidak menerima mesej teks. Memandangkan keputusan tentang kepatuhan ubat-ubatan berbeza merentasi kajian-kajian, kami tidak pasti jika pemesejan teks boleh memperbaik kepatuhan ubat-ubatan.

Kami dapati pemesejan teks boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap peristiwa kardiovaskular yang membawa maut (kematian akibat penyakit jantung). Selain itu, kami sangat tidak pasti sama ada menggunakan pemesejan teks boleh kurangkan tekanan darah, kolesterol, kadar degupan jantung, peristiwa kardiovaskular yang tidak membawa maut (komplikasi jantung atau strok), dan peristiwa kardiovaskular gabungan (kematian akibat penyakit jantung, komplikasi jantung atau strok) berbanding orang yang tidak menerima mesej teks. Dua kajian melaporkan peristiwa kardiovaskular yang tidak membawa maut dan kedua-dua kajian tiada bukti perbezaan antara kumpulan. Hanya satu kajian melaporkan peristiwa kardiovaskular gabungan, dan tidak menemui bukti perbezaan antara kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, beberapa kaedah penyelidikan yang diguna dalam kajian-kajian tersebut bukanlah berkualiti terbaik. Ada kemungkinan orang dalam kajian menyedari rawatan yang mereka terima yang boleh mempengaruhi keputusan-keputusan. Tidak semua kajian menyediakan data tentang semua perkara yang kami minati. Kedua, kandungan dan kaedah penyampaian mesej teks berbeza merentasi kajian-kajian. Ketiga, keputusan-keputusan sangat tidak konsisten merentasi kajian-kajian,dan tiada bilangan kajian yang cukup untuk memastikan keputusan hasil kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information