Rawatan ubat-ubatan untuk melegakan sesak nafas dalam fibrosis sistik

Soalan ulasan

Apakah bukti ubat rawatan untuk sesak nafas (juga dikenali sebagai dispnea) dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik adalah berkesan dan selamat?

Latar belakang

Fibrosis sistik adalah penyakit genetik yang membataskan kehidupan. Sambil penyakit progressi, mukus melekit yang tebal akan terbentuk dalam paru-paru, pankreas dan organ-organ lain. Mukus tebal ini meningkatkan risiko jangkitan, menghalang saluran udara dan menyebabkan sesak nafas yang teruk. Kelegaan sesak nafas adalah matlamat penting bagi penjagaan orang dengan fibrosis sistik. Banyak kaedah telah dicadangkan untuk menangani masalah ini dan banyak ubat-ubatan telah dilaporkan untuk melegakan sesak nafas. Ubat-ubatan boleh diberi melalui pelbagai laluan - ia boleh dihidu, ditelan, disuntik di bawah kulit, ke dalam otot atau ke dalam vena atau diserap melalui kulit (sama ada di badan atau melalui membran di dalam mulut atau hidung). Walaupun banyak ubat-ubatan sedia ada, tiada garis panduan tertentu untuk rawatan ubat yang bertujuan melegakan sesak nafas dalam orang dengan fibrosis sistik.

Tarikh carian

Bukti dari Daftar Kajian Fibrosis Sistik Cochrane adalah terkini sehingga:18 November 2019; carian dari daftar kajian yang sedang berlangsung adalah terkini sehingga 06 Mac 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami merancang untuk memasukkan kajian yang membandingkan pelbagai rawatan untuk melegakan sesak nafas dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik di mana para peserta diletakkan ke dalam kumpulan pelbagai rawatan secara rawak. Carian kami hanya mendapati satu kajian di mana tujuh orang pada mulanya menerima sama ada ubat yang dipanggil hydrocodone atau plasebo (rawatan sulih) dan kemudian ditukar kepada rawatan lain; tetapi kajian ini tidak melaporkan keputusan secara berasingan bagi setiap cabang rawatan, oleh itu kami tidak dapat menyertakannya dalam ulasan ini.

Keputusan utama

Tiada kajian yang memenuhi kriteria kemasukan, maka adalah tidak mungkin untuk mengulas hasil yang kami ingin laporkan dalam ulasan ini. Sehingga terdapat bukti, para penulis ulasan merasakan para doktor adalah dinasihatkan untuk mengikut sebarang panduan tempatan atau kebangsaan. Para penulis mencadangkan penyelidikan dalam bidang ini perlu mempertimbangkan etika dan patut memfokuskan keselamatan ubat-ubatan, penambahbaikan kualiti hidup, skor sesak nafas dan tempoh tinggal di hospital.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information