Apakah tingkah laku agresif?
Organisasi Buruh Antarabangsa menggunakan istilah "keganasan di tempat kerja" yang ditakrif sebagai "tindakan, kejadian atau tingkah laku yang berlainan dari tingkah laku munasabah di mana seseorang diancam, dicederakan, cedera semasa, atau sebagai akibat langsung dari pekerjaannya”. Mengalami tingkah laku agresif di tempat kerja boleh mempengaruhi kemampuan orang untuk bekerja dengan baik, boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan mental, dan juga mempengaruhi kehidupan di rumah. Tingkah laku agresif boleh menyebabkan ketidakhadiran bekerja; sesetengah orang mungkin meninggalkan pekerjaan mereka jika mereka alami tingkah laku agresif.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Tingkah laku agresif yang ditunjukkan oleh pesakit dan keluarga, rakan, dan penjaga pesakit adalah masalah serius bagi pekerja penjagaan kesihatan. Ini boleh mempengaruhi kualiti dan keselamatan penjagaan yang dapat diberi oleh pekerja penjagaan kesihatan.
Program pendidikan dan latihan telah dibangunkan bagi mengurangkan - atau menghapus - tingkah laku agresif di tempat kerja. Program-progarm ini bertujuan untuk mengajar dan melatih pekerja penjagaan kesihatan tentang:
• dasar dan prosedur organisasi mereka;
• bagaimana menilai risiko; dan
• strategi untuk mengawal atau mengurangkan kemungkinan - dan kesan - mengalami tingkah laku agresif.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang meneliti seberapa baik program pendidikan dan latihan untuk mencegah atau mengurangkan tingkah laku agresif terhadap pekerja penjagaan kesihatan.
Kami menyertakan kajian rawak terkawal, di mana program yang diterima orang ditentukan secara rawak dan kajian di mana kesan program diukur sebelum dan sesudah di antara orang yang melengkapkan program dan kumpulan orang yang tidak mengambil bahagian.
Kami ingin tahu apakah program pendidikan dan latihan dapat:
• mengurangkan bilangan insiden tingkah laku agresif di tempat kerja penjagaan kesihatan;
• meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan sikap pekerja penjagaan kesihatan terhadap tingkah laku agresif; dan
• mengurangkan kesan buruk peribadi (tidak diingini atau negatif) dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan yang mengalami tingkah laku agresif.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Jun 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui sembilan kajian melibatkan 1688 pekerja penjagaan kesihatan (termasuk staf sokongan penjagaan kesihatan, seperti penyambut tetamu) yang bekerja dengan pesakit, keluarga, rakan, dan penjaga pesakit. Kajian-kajian tersebut membandingkan kesan penerimaan program pendidikan dan latihan; dengan kesan tanpa penerimaan program sedemikian.
Kajian-kajian dilakukan di hospital atau pusat penjagaan kesihatan (empat kajian), di wad psikiatri (dua kajian), dan di pusat penjagaan jangka panjang (tiga kajian) di Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Sweden, dan Taiwan.
Semua program menggabungkan pendidikan dengan latihan yang disediakan sama ada dalam talian (empat kajian) atau bersemuka (lima kajian). Dalam lapan kajian, orang yang mengambil bahagian disusul hingga tiga bulan (jangka pendek), dan dalam satu kajian selama lebih dari satu tahun (jangka panjang).
Apakah keputusan ulasan kami?
Program pendidikan dan latihan tidak mengurangkan jumlah laporan tingkah laku agresif terhadap pekerja penjagaan kesihatan (lima kajian), mungkin kerana program ini membuat pekerja penjagaan kesihatan lebih cenderung melaporkan kejadian tersebut.
Program pendidikan dan latihan dapat memperbaiki pengetahuan pekerja penjagaan kesihatan tentang tingkah laku agresif di tempat kerja dalam jangka pendek (satu kajian), tetapi kami tidak pasti sama ada ini akan memberi kesan jangka panjang (satu kajian).
Program pendidikan dapat memperbaiki sikap pekerja penjagaan kesihatan terhadap tingkah laku agresif dalam jangka pendek (lima kajian), walaupun hasil adalah berbeza bergantung kepada jenis dan tempoh program yang disediakan.
Program pendidikan mungkin tidak mempengaruhi kemahiran pekerja penjagaan kesihatan dalam menangani tingkah laku agresif (dua kajian) dan mungkin tidak mempengaruhi sama ada kesan peribadi yang tidak diingini atau negatif selepas pekerja penjagaan kesihatan mengalami tingkah laku agresif (satu kajian).
Adakah keputusan ini boleh dipercayai?
Kami tidak yakin dengan hasil ulasan kami kerana keputusan-keputusan ini dilaporkan dari sebilangan kecil kajian - sesetengah dengan jumlah peserta yang kecil - dan kerana sesetengah kajian menunjukkan perbezaan keputusan yang besar. Kami mengenal pasti masalah-masalah yang melibatkan cara sesetengah kajian direka bentuk, dilaksanakan, dan dilaporkan. Keputusan kami mungkin berubah jika bukti lebih lanjut tersedia.
Mesej utama
Walaupun program pendidikan dan latihan dapat meningkatkan pengetahuan dan sikap positif pekerja penjagaan kesihatan, program sedemikian mungkin tidak mempengaruhi bilangan insiden tingkah laku agresif yang dialami pekerja penjagaan kesihatan.
Lebih banyak kajian diperlukan, terutama di tempat kerja penjagaan kesihatan dengan tingkah laku agresif yang tinggi.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my