Teknik penyampaian ubat menggunakan arus elektrik untuk rawatan kanser pundi kencing invasif bukan otot

Soalan ulasan

Pada orang dengan kanser pundi kencing invasif bukan otot (NMIBC), bagaimana kaedah menggunakan arus elektrik untuk menyampaikan ubat dibandingkan dengan kaedah tanpa arus elektrik?

Latar belakang

NMIBC adalah kanser (tumor) lapisan dalam pundi kencing yang dapat dikeluarkan dari dalam menggunakan instrumen kecil dan sumber cahaya, yang dikenali sebagai pembedahan endoskopi. Tumor ini dapat kembali dari masa ke masa dan merebak ke lapisan dinding pundi kencing yang lebih dalam. Kita tahu bahawa pelbagai jenis ubat yang boleh kita masukkan ke dalam pundi kencing membantu mencegahnya. Penyelidik telah melihat penggunaan arus elektrik sebagai ubat berfungsi dengan lebih baik. Dalam ulasan ini, kami ingin mengetahui sama ada menggunakan arus elektrik lebih baik atau lebih buruk daripada tidak menggunakan arus elektrik.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 7 Februari 2017. Kami menjumpai tiga kajian yang dilakukan antara tahun 1994 dan 2003 dengan 672 peserta yang membandingkan lima cara pemberian rawatan ini. Mitomycin (MMC) adalah satu-satunya ubat yang digunakan bersama dengan arus elektrik. Ketiga-tiga kajian berasal dari pasukan penyelidikan yang sama.

Keputusan utama

Kami sangat tidak pasti sama ada penggunaan arus elektrik untuk memberi MMC selepas pembedahan endoskopi adalah lebih baik atau lebih buruk daripada memberi Bacillus Calmette-Guérin (BCG; vaksin yang biasanya digunakan dalam tuberkulosis) atau MMC tanpa arus elektrik. MMC yang diberikan dengan arus elektrik bersama dengan BCG yang diberikan dalam jangka masa yang panjang mungkin lebih baik daripada BCG sahaja dalam menunda tumor kembali dan menyebar ke lapisan dinding pundi kencing yang lebih dalam. Memberi satu dos MMC dengan arus elektrik sebelum pembedahan endoskopi mungkin lebih baik daripada satu dos MMC tanpa arus elektrik selepas pembedahan atau pembedahan sahaja tanpa rawatan lanjut. Kami tidak pasti tetang kemungkinan kesan sampingan daripada rawatan ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti rendah atau sangat rendah untuk kebanyakan rawatan yang kami bandingkan, yang bermaksud bahawa kami sering tidak pasti sama ada penemuan itu benar. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan-keputusan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information