Membantu orang dewasa dengan penyakit mental yang teruk mendapatkan pekerjaan dan mengekalkannya, satu meta-analisis rangkaian

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada boleh membantu orang dewasa dengan penyakit mental yang teruk mendapatkan pekerjaan dan mengekalkannya.

Orang yang mempunyai penyakit mental yang teruk, seperti skizofrenia atau gangguan bipolar, lebih kerap menganggur. Walau bagaimanapun, mereka ini masih sering mempunyai keinginan untuk bekerja. Terdapat banyak cara untuk mencuba dan membantu mereka memperoleh pekerjaan yang kompetitif. Orang yang mengalami penyakit mental yang teruk pernah ditempatkan di pekerjaan terlindung atau mereka telah didaftarkan dalam latihan prevokasional, sebelum mencari kerja yang kompetitif. Kini terdapat juga intervensi yang memfokuskan secara langsung untuk mencari pekerjaan dengan cepat, dengan sokongan berterusan untuk mengekalkan pekerjaan itu. Ini dikenali sebagai pekerjaan yang disokong. Baru-baru ini, terdapat minat yang semakin meningkat untuk menggabungkan pekerjaan yang disokong dengan intervensi prevokasional atau psikiatri yang lain.

Mesej utama

Pekerjaan yang disokong dan pekerjaan yang disokong tambahan adalah lebih berkesan daripada intervensi lain dalam mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan yang kompetitif untuk orang yang mengalami penyakit mental yang teruk tanpa meningkatkan risiko untuk kemasukan ke hospital. Perbezaan keberkesanan antara pekerjaan disokong dan pekerjaan disokong tambahan adalah kecil. Penyelidikan masa depan harus menilai keberkesanan kos pekerjaan disokong tambahan berbanding pekerjaan yang disokong sahaja.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memasukkan 48 kajian rawak terkawal (melilbatkan 8743 orang peserta). Intervensi termasuk latihan prevokasional, pekerjaan peralihan, seperti pekerjaan terlindung, pekerjaan yang disokong, pekerjaan yang disokong ditambah dengan intervensi khusus lain atau penjagaan psikiatri sahaja. Kami menggunakan data daripada kajian-kajian ini tentang bilangan penganggur yang telah mendapat pekerjaan yang kompetitif dan bilangan minggu mereka bekerja. Melalui meta-analisis perbandingan langsung dan meta-analisis rangkaian kami menilai perbezaan keberkesanan antara semua intervensi, dan meletakkannya dengan sewajarnya.

Apakah keputusan ulasan ini?

Pekerjaan disokong dan pekerjaan disokong tambahan adalah lebih berkesan daripada latihan prevokasional, pekerjaan peralihan atau penjagaan psikiatri hanya dalam mendapatkan pekerjaan dalam kedua-dua jenis meta-analisis. Dalam meta-analisis perbandingan langsung latihan prevokasional juga lebih berkesan daripada penjagaan psikiatri sahaja. Pekerjaan disokong tambahan menunjukkan hasil yang lebih baik sedikit daripada pekerjaan disokong sahaja, sekali lagi dalam kedua-dua jenis meta-analisis. Walau bagaimanapun, keputusan ini kurang jelas dalam meta-analisis rangkaian. Dalam analisis subkumpulan pekerjaan yang disokong dengan latihan kemahiran berkaitan gejala menunjukkan hasil yang terbaik. Hasilnya adalah berdasarkan bukti berkualiti sederhana hingga sangat rendah, bermakna hasil kajian masa depan boleh mengubah kesimpulan kami. Pekerjaan sokongan tambahan adalah lebih berkesan daripada latihan prevokasional dan pekerjaan disokong dalam mengekalkan pekerjaan yang kompetitif dalam meta-analisis perbandingan langsung. Keputusan ini menyokong pekerjaan yang disokong berbanding dengan pekerjaan peralihan dalam mengekalkan pekerjaan yang kompetitif.

Secara keseluruhan, kami tidak menemui sebarang perbezaan antara intervensi dalam risiko peserta tercicir atau kemasukan ke hospital.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 11 November 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information