Soalan ulasan
Penyelidik-penyelidik Cochrane telah mengulas bukti tentang keberkesanan metabolomik sebagai alat penilaian untuk meningkatkan kadar kehamilan berterusan, kelahiran hidup, dan keguguran pada wanita yang sedang menjalani bantuan teknologi pembiakan (ART).
Latar belakang
Metabolomik adalah kajian saintifik 'cap jari' kimia yang dihasilkan oleh sel-sel biologi, tisu atau organ selepas pelbagai proses selular. Ia telah dicadangkan sebagai kaedah bukan-traumatik yang berkuasa untuk menilai kualiti oosit, viabiliti embrio, dan penerimaan endometrium dalam kalangan wanita separa subur yang menjalani ART. Tujuan akhir penggunaannya adalah untuk mengatasi insiden kelahiran berganda yang tinggi dan meningkatkan prestasi ART. Walau bagaimanapun, bukti penggunaannya masih bercanggah. Oleh itu, adalah penting untuk menilai bukti terkini mengenai keberkesanan metabolomik berbanding teknik konvensional (seperti penilaian morfologi sahaja) dalam menyediakan cukup maklumat mengenai kecukupan fisiologi dan fungsi embrio, oosit dan endometrium, untuk memudahkan sasaran rawatan separa subur.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati empat kajian rawak terkawal, dengan sejumlah 924 wanita, yang membandingkan penilaian profil metabolomik dengan penilaian morfologi embrio. Purata usia wanita tersebut adalah 33 tahun. Semua kajian telah dijalankan antara 2011 dan 2013; tempoh susulan tidak dinyatakan dalam mana-mana kajian. Bukti adalah terkini sehingga 26 Februari 2018.
Sumber pembiayaan kajian
Satu kajian dibiaya oleh geran tanpa syarat satu syarikat bioteknologi (Persyarikatan Molekul Biometrik). Keunggulan bersyarat yang sangat rendah untuk hasil utama dan penamatan pramatang kajian berpotensi dikaitkan dengan minat pembiaya di dalam keputusan-keputusannya. Satu kajian menerima pembiayaan daripada sebuah pertubuhan kesihatan kebangsaan, tetapi peralatan disediakan oleh Persyarikatan Molekul Biometrik, satu kajian adalah dibiayai sendiri, manakala sumber pembiayaan tidak dinyatakan dalam kajian yang keempat.
Keputusan-keputusan Utama
Kami menemui bukti berkualiti rendah dengan tiada perbezaan di antara intervensi dan kumpulan kawalan dalam kadar kelahiran hidup, kehamilan yang sedang berlangsung, keguguran, kehamilan klinikal, dan hamil kembar. Kami mendapati kualiti bukti yang sangat rendah tanpa perbezaan yang bermakna antara kumpulan-kumpulan untuk kehamilan ektopik, dan kualiti bukti yang sangat rendah bahawa kadar pembatalan adalah lebih tinggi dalam kumpulan intervensi. Penemuan kami menunjukkan jika kadar kelahiran hidup atau kehamilan yang berlangsung adalah 36% dalam kumpulan bukan metabolomik, ia adalah antara 32% dan 45% dengan penggunaan metabolomik. Data adalah tidak cukup tentang kesan-kesan buruk lain. Tiada kajian yang direka bentuk dengan betul melaporkan penilaian metabolomik kualiti oosit atau kesediaan endometrium.
Kualiti bukti
Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Pembatasan termasuklah risiko bias yang serius (dikaitkan dengan laporan kaedah yang lemah, bias atrisi, pelaporan selektif dan bias lain), ketaktepatan, dan ketakkonsisten keseluruhan kajian-kajian.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.