Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan kesan terhadap tekanan intraokular (IOP) antara peserta yang menerima mitomycin C (MMC) sewaktu pembedahan pintasan akueus dan peserta yang tidak menerima mitomycin C (MMC) ketika pembedahan pintasan akueus.
Mesej utama
Kami tidak tahu sama ada MMC membantu dalam menurunkan tekanan intraokular (IOP) selepas pembedahan pintasan akueus untuk glaukoma. Semua kajian berkaitan yang telah kami temui adalah kecil dan mereka melaporkan informasi yang sedikit tentang bagaimana kajian dijalankan. Perbezaan IOP antara kumpulan yang menerima MMC dan tanpa MMC 12 bulan selepas pembedahan adalah tidak meyakinkan sama ada MMC membantu menurunkan IOP.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Glaukoma adalah penyakit progresif di mana saraf optik telah rosak. Kerosakan pada saraf optik mengakibatkan kecacatan penglihatan dan menyebabkan kebutaan apabila tidak dirawat sebaiknya. Peningkatan tekanan dalam mata, dikenali sebagai tekanan intraokular atau IOP, merupakan satu-satunya faktor risiko untuk glaukoma yang boleh dirawat. Adalah difikirkan bahawa melalui penurunan IOP, kerosakan pada saraf optik akan berkurang pada mata yang mengalami glaukoma. Rawatan dalam menurunkan IOP termasuk titis mata, pembedahan laser (trabeculoplasti), trabeculektomi (pembedahan membuang sebahagian jaring trabekular), dan pembedahan pintasan akueus (peranti kecil yang ditanam dalam mata untuk membantu pengaliran cecair mata bagi mengurangkan tekanan). Pembedahan pintasan akueus biasanya dijalankan sekiranya titis mata dan pembedahan laser tidak mampu mengurangkan IOP.
Kadangkala, ubat-ubatan seperti MMC, digunakan bersama-sama rawatan pintasan akueus ini. Ubat yang dikenali sebagai agen antifibrotik ini, digunakan untuk menghalang pertumbuhan tisu di sekeliling peranti yang ditanam yang boleh menyekat cecair mengalir dari mata. Walau bagaimanapun, adalah tidak diketahui sama ada ubat seperti ini berkesan dan sama ada ianya bebas dari kesan sampingan yang tidak diingini. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan penggunaan MMC dalam pembedahan pintasan akueus.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami telah memasukkan lima kajian melibatkan 333 mata dengan glaukoma. Kelima-lima kajian melaporkan hanya beberapa maklumat tentang bagaimana kajian tersebut direka dan dijalankan serta beberapa hasil kajian berkenaan IOP. Oleh itu, kami tidak mengetahui sama ada MMC bermanfaat jika dibandingkan dengan plasebo. Kami tidak menemui manfaat atau bahaya yang jelas pada penggunaan MMC berbanding tanpa MMC ketika pembedahan pintasan akueus.
Setakat manakah ulasan ini dikemaskini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 13 Februari 2018.
Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com .