Terapi kehadiran simulasi untuk demensia (nyanyuk)

Soalan ulasan

Bolehkah terapi kehadiran simulasi (SPT) merawat tingkah laku masalah, dan meningkatkan kualiti hidup pesakit demensia?

Latar belakang

Demensia adalah satu masalah, yang paling kerap terjadi dikalangan orang tua, di mana ingatan dan fungsi lain otak merosot dan pesakit secara beransur-ansur bergantung kepada penjaga untuk urusan kehidupan harian. Ramai pesakit demensia, terutama mereka yang diperingkat demensia yang akhir, menunjukkan tanda-tanda yang mereka sedang tertekan, atau berkelakuan dengan cara yang sukar diatasi oleh penjaga mereka. Terdapat banyak minat untuk mencari cara bagi merawat keadaan ini tanpa menggunakan ubat. Terapi kehadiran simulasi adalah sejenis rawatan yang telah digunakan terutamanya di rumah jagaan khas. Ia melibatkan memainkan video peribadi atau rakaman pita rakaman anggota keluarga kepada pesakit demensia semasa beliau dalam keadaan tertekan atau gelisah.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang membandingkan SPT dengan rawatan biasa atau rawatan lain. Sebaik-baiknya, pesakit demensia perlu diberikan satu atau lain-lain rawatan secara rawak, tetapi kami memasukkan juga kajian-kajian yang mana pemilihan rawatan tidak dilakukan secara rawak.

Kami menemui tiga kajian yang memenuhi kriteria carian kami. Kesemua 144 peserta kajian tinggal di rumah jagaan. Majoritinya adalah wanita dengan usia secara purata lebih daripada 80 tahun dan menghidap demensia yang teruk. Cara SPT diberikan berbeza dalam setiap kajian. Semua kajian menggunakan lebih daripada satu rawatan perbandingan, yang berbeza antara diantara kajian-kajian. Semua kajian ini cuba mengukur kesan terhadap tingkah laku kegelisahan, tetapi menggunakan pendekatan yang berbeza.

Dapatan utama

Memandangkan kajian-kajian ini sangat berbeza antara satu sama lain, kami tidak dapat mengumpulkan hasilnya dalam satu penemuan yang sama. Secara individu, setiap kajian melaporkan kaedah yang berbeza untuk menilai kesan SPT terhadap masalah tingkah laku dan hasilnya berbeza-beza bergantung pada kaedah yang digunakan untuk mengukur hasilnya.

Tidak ada satu pun daripada kajian tersebut yang menilai kualiti hidup, kesan terhadap aktiviti harian, kesan pada penjaga, atau tahap kemungkinan peserta berhenti daripada kajian ini.

Kualiti bukti

Kajian-kajian ini kecil dan semuanya mempunyai masalah dengan kaedah yang telah digunakan yang boleh menyebabkan hasilnya berat sebelah. Oleh itu, kami berpendapat kualiti keseluruhan bukti sangat rendah, yang bermakna kami sama sekali tidak yakin dengan hasil kajian-kajian tersebut.

Kesimpulan

Tidak terdapat kajian berkualiti tinggi yang cukup dilakukan untuk membolehkan kami menilai sama ada SPT dapat membantu pesakit demensia yang berada dalam keadaan tertekan atau gelisah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).Disunting oleh Rosnani Zakaria(Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information