Peningkatan dos antipsikotik berbanding dengan menukar kepada antipsikotik lain untuk pesakit dengan skizofrenia yang tidak mempunyai tindak balas kepada rawatan awal

Soalan ulasan

Sekiranya pesakit dengan skizofrenia tidak memberi tindak balas kepada antispikotik pada mulanya, adakah peningkatan dos antipsikotik tersebut lebih berkesan, dan lebih selamat, berbanding dengan menukar kepada antipsikotik lain?

Latar belakang

Ramai pesakit dengan penyakit mental serius skizofrenia tidak memberi tindak balas penuh (contohnya simptom seperti khayalan dan halusinasi masih wujud) dengan dos standard ubat antipsikotik yang diberi mulanya. Dalam kes sebegini, doktor boleh mempertimbangkan peningkatan dos antipsikotik melepasi tahap biasa atau menukar kepada ubat antipsikotik lain untuk meningkatkan keberkesanan antipsikotik. Bukti mengenai strategi rawatan optimum adalah berkurangan.

Carian bukti

Information Specialist of Cochrane Schizophrenia menjalankan carian elektronik (sehingga 30 Mac 2017) untuk kajian yang merambangkan pesakit dengan skizofrenia yang tidak memberi tindak balas kepada rawatan antipsikotik awal untuk menerima sama ada dos antipsikotik yang dinaikkan atau ditukar kepada ubat antipsikotik yang lain. Sembilan ratus dan dua rekod telah dijumpai dan diperiksa oleh pengarang ulasan.

Bukti yang ditemui

Hanya satu kajian sahaja yang memenuhi keperluan ulasan dan menyediakan data yang boleh digunakan. Data dilaporkan untuk bilangan peserta yang memberi tindak balas kepada rawatan, keadaan umum mental peserta pada akhir kajian dan kewujudan simptom negatif pada titik akhir. Tiada data yang sedia ada untuk hasil kajian yang lain. Tiada perbezaan ketara antara peningkatan dose ubat antipsikotik dan menukar kepada antipsikotik lain ditemui. Bukti yang sedia ada adalah sangat terhad dan sangat rendah kualitinya.

Kesimpulan

Keputusan ulasan ini menunjukkan bahawa tiada bukti berkualiti tinggi untuk membantu doktor memutuskan antara peningkatan dos antipsikotik atau menukar ubat antipsikotik yang lain untuk pesakit yang tidak memberi tindak balas kepada rawatan antipsikotik awal. Jadi, tiada kesimpulan boleh dibuat. Kajian-kajian rawak yang direka dengan baik dan bersampel besar adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information