Pemerhatian tindakan untuk rehabilitasi lengan selepas serangan angin ahmar

Soalan ulasan
Kami telah membandingkan kesan pemerhatian tindakan terhadap fungsi lengan dan tangan selepas serangan angin ahmar dengan intervensi alternatif atau tiada intervensi. Di samping itu, kami melihat kesan terapi ini pada prestasi bahagian tangan, aktiviti harian, kualiti hidup, dan pengaktifan kawasan otak.

Latar belakang
Individu yang selamat selepas serangan angin ahmar sering mempunyai kesukaran untuk menggerakkan lengan mereka, yang menyebabkan masalah dengan aktiviti harian dan pengurangan penglibatan dalam aktiviti seharian. Pemerhatian tindakan ialah satu pendekatan rehabilitasi fizikal yang dicadangkan untuk rehabilitasi lengan, yang mana penghidap angin ahmar akan memerhati individu yang sihat melakukan tugas, sama ada melalui video atau bersemuka, diikuti atau tidak perbuatan tugas yang sama. Teknik yang selamat ini boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan peralatan yang mahal dan rumit dan memerlukan penyeliaan minimum juruterapi. Kajian menunjukkan bahawa pemerhatian tindakan mengaktifkan bahagian otak yang serupa apabila melakukan aktiviti yang sama, dan memudahkan penyembuhan pergerakan selepas angin ahmar.

Ciri-ciri kajian
Kami telah mengenalpasti 16 kajian yang melibatkan 574 individu yang mengalami angin ahmar. Kebanyakannya menggunakan video bersiri dan pemerhatian tindakan yang diikuti dengan latihan motor, mengunakan pelbagai aktiviti, dengan kerumitan tugas secara berperingkat sepanjang tempoh latihan atau apabila ianya terlalu mudah untuk peserta membuatnya. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Keputusan utama
Kajian menguji sama ada penggunaan pemerhatian tindakan berbanding dengan intervensi alternatif atau tiada intervensi menghasilkan peningkatan keupayaan peserta untuk menggunakan lengan dan tangan mereka, dan mendapati bahawa pemerhatian tindakan mungkin mempunyai kesan kecil pada fungsi lengan (11 kajian) dan kesan yang besar pada fungsi tangan (lima kajian). Tiada bukti manfaat atau kemudaratan daripada terapi ini terhadap aktiviti harian dan kualiti hidup pesakit angin ahmar. Tidak mungkin untuk menilai keputusan prestasi bahagian tangan dan pengaktifan kawasan otak.

Kepastian bukti
Kepastian bukti adalah rendah untuk fungsi lengan dan fungsi tangan, dan sangat rendah untuk aktiviti harian dan kualiti hidup. Peserta boleh terlibat dalam terapi ini dengan selamat, kerana kejadian buruk dan kesan sampingan adalah tidak ketara dalam skala atau magnitud. Kepastian bukti untuk setiap hasil adalah terhad memandangkan jumlah peserta kajian yang sedikit, kualiti kajian yang rendah, dan pelaporan butir-butir kajian yang lemah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Solihin Zahari (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information