Aspirin oral untuk rawatan akut sakit kepala jenis ketegangan episodik dalam kalangan orang dewasa

Kesimpulan

Ulasan ini mendapati hanya terdapat bukti berkualiti rendah bahawa 2 hingga 14 orang dalam sebulan dengan sakit kepala jenis ketegangan mendapat kelegaan sakit yang baik dengan mengambil 1000 mg aspirin atau dos yang lebih rendah. Terdapat persoalan bagaimana kajian-kajian berkenaan pening kepala jenis ini dijalankan. Persoalan ini melibatkan jenis orang yang dipilih untuk kajian dan jenis hasil yang dilaporkan. Ini menghadkan kebergunaan keputusan, terutama untuk orang-orang yang hanya ada sakit kepala sekali-sekala

Latar belakang

Orang yang sering mengalami sakit kepala jenis ketegangan episodik mempunyai 2 hingga 14 episod sakit kepala setiap bulan. Sakit kepala jenis ketegangan menghalang orang memberi tumpuan dan bekerja dengan sempurna, dan mengakibatkan banyak ketakbolehan. Apabila sakit kepala berlaku, ia akan beransur pulih dengan masa, walaupun tanpa rawatan. Aspirin adalah ubat tahan sakit yang biasa digunakan dan mudah didapati tanpa preskripsi (di kaunter). Dos biasa adalah 300 mg hingga 650 mg yang diambil melalui mulut.

Ciri kajian

Pada September 2016, kami mencari karya perubatan dan menjumpai 5 kajian melibatkan 1812 peserta yang mengkaji aspirin untuk sakit kepala jenis ketegangan episodik yang kerap. Lebih kurang 1668 peserta terlibat dalam perbandingan antara aspirin pada dos antara 500 mg dan1000mg dan plasebo (tablet semu). Persatuan Sakit Kepala Antarabangsa mengesyorkan hasil bebas sakit dua jam selepas mengambil ubat, tetapi hasil hasil lain juga dicadangkan. Tiada kajian yang melaporkan bebas sakit pada dua jam, atau hasil lain yang diiktiraf, oleh itu maklumat adalah terhad untuk menganalisis hasil-hasil mengenai keberkesanan aspirin.

Keputusan utama

Tiada kajian yang melaporkan peserta bebas sakit pada dua jam, dan hanya satu kajian melaporkan hasil yang kami nilaikan setara dengan bebas sakit atau mempunyai hanya sakit sedikit pada dua jam. Untuk aspirin 1000 mg, lebih kurang 10 peserta dalam 100 menggunakan ubat sakit tambahan, berbanding dengan 30 dalam 100 dengan plasebo (kualiti bukti yang amat rendah) Di akhir kajian 55 dalam 100 peserta berpuas hati dengan rawatan berbanding 37 dalam 100 dengan plasebo (kualiti bukti yang amat rendah). Lebih kurang 15 dalam 100 orang yang mengambil aspirin 1000 mg melaporkan kesan sampingan selepas satu dos, yang bersamaan dengan plasebo (kualiti bukti rendah).

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau amat rendah bagi perbandingan antara aspirin dan plasebo. Kualiti bukti yang rendah atau amat rendah bermaksud kita sangat tidak pasti mengenai keputusan-keputusan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my.

Tools
Information