Adakah lebih baik untuk memasukkan implan atau alat dalam rahim (gegelung) untuk perancangan keluarga dalam beberapa hari selepas bersalin atau tunggu 4 hingga 6 minggu?

Apabila kami menggunakan istilah 'orang' dalam ringkasan ini, kami memaksudkan individu yang mempunyai keupayaan semasa untuk hamil.

Mesej utama

- Pemasukan implan perancang atau alat dalam rahim (IUD) dalam beberapa hari selepas bersalin (sisipan segera, semasa berada di hospital), dan bukannya menunggu 4 hingga 6 minggu untuk pemasukan (penyisipan tertunda), meningkatkan jumlah orang yang disisip.

- Masa pemasukan membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang menggunakan kaedah perancang ini 6 atau 12 bulan selepas bersalin.

- Pengeluaran IUD nampaknya berlaku lebih kerap pada orang yang mempunyai sisipan segera.

- Penyelidikan lanjut diperlukan tentang kadar kehamilan yang tidak diingini dengan kedua-dua sisipan segera dan sisipan tertunda implan dan IUD.

Apakah itu implan pencegah kehamilan atau alat dalam rahim?

Implan perancang dan alat dalam rahim (IUD) adalah kaedah kawalan kelahiran yang sangat berkesan yang boleh diterbalikkan dan selamat untuk digunakan sejurus selepas bersalin. Implan dimasukkan ke dalam lengan atas, dan IUD ke dalam rahim (uterus) oleh doktor atau jururawat. Orang yang menggunakan kaedah perancang ini menggunakan sama ada implan atau IUD.

Jarak kehamilan yang sesuai adalah baik untuk kesihatan kedua-dua orang hamil dan bayi yang baru lahir. Biasanya, perancangan keluarga disediakan pada lawatan kesihatan komprehensif pertama selepas bersalin (biasanya sekitar enam minggu selepas bersalin). Walau bagaimanapun, sesetengah orang melakukan hubungan seks sebelum lawatan ini, atau tidak hadir, yang meningkatkan risiko kehamilan yang tidak dirancang. Pemasukan implan perancang atau IUD dalam masa beberapa hari selepas bersalin, sebelum keluar dari hospital, adalah mudah untuk pesakit dan kakitangan perubatan. Orang yang mempunyai implan atau IUD diketahui tidak hamil, dan amalan ini boleh meningkatkan bilangan orang yang boleh menggunakan kaedah perancang ini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada memasukkan implan perancang atau IUD dalam beberapa hari selepas bersalin adalah lebih baik daripada menunggu 6 hingga 8 minggu untuk:

- bilangan orang yang bersetuju untuk disisip (kadar pemasukan);

- bilangan orang yang terus menggunakan kaedah perancang ini (kadar utilisasi);

- mencegah kehamilan; dan

- sama ada pemasukan implan perancang atau IUD dalam masa beberapa hari selepas bersalin dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menyiasat pemasukan implan perancang atau IUD pada orang dalam beberapa hari selepas bersalin ('sisipan segera') berbanding dengan sisipan 6 hingga 8 minggu selepas bersalin (sisipan 'tertunda').

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan mereka terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai 16 kajian yang melibatkan seramai 2609 orang (715 orang dalam kajian implan perancang, dan 1894 orang dalam kajian IUD). Semua kajian dijalankan di hospital. Kebanyakan berlangsung di Amerika Syarikat, tetapi yang lain berlangsung di Uganda, Mesir, Brazil dan Sri Lanka. Kajian-kajian tersebut menyertakan orang yang baru melahirkan anak, kebanyakannya berumur 18 tahun atau lebih, walaupun 1 kajian menyertakan orang yang lebih muda. Kajian menyiasat pelbagai jenis implan perancangdan IUD.

Keputusan utama

Implan perancang

Orang ramai adalah 48% lebih berkemungkinan untuk memasukkan implan perancang kehamilan apabila ia boleh dimasukkan dalam beberapa hari selepas bersalin berbanding pemasukan tertunda.

Masa pemasukan memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang menggunakan implan perancang 6 atau 12 bulan selepas bersalin.

Pendarahan faraj nampaknya berlarutan lebih lama pada orang yang mempunyai implan yang dimasukkan beberapa hari selepas bersalin berbanding dengan kemasukan yang tertunda (3 hari lebih banyak pendarahan), tetapi tidak ada perbezaan antara kumpulan untuk pendarahan 6 bulan selepas bersalin.

Kami tidak pasti jika terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan yang tidak diingini antara kumpulan pada 6 dan 12 bulan selepas bersalin.

IUDs

Orang ramai adalah 27% lebih berkemungkinan untuk memasukkan IUD apabila ia boleh dimasukkan dalam beberapa hari selepas bersalin berbanding dengan kemasukan yang tertunda.

Tidak jelas sama ada masa pemasukan memberi sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang menggunakan IUD 6 atau 12 bulan selepas bersalin.

Enam bulan selepas bersalin, pengusiran IUD dari rahim kelihatan lebih kerap berlaku pada orang yang telah dimasukkan IUD dalam beberapa hari selepas bersalin.

Kami tidak pasti jika terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan yang tidak diingini antara kumpulan pada 6 dan 12 bulan selepas bersalin.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti untuk hasil yang berbeza adalah sederhana hingga tidak pasti. Ini kerana orang dalam kajian mengetahui bila implan atau IUD mereka dimasukkan, yang mungkin telah menjejaskan pelaporan beberapa hasil, dan kerana kadar keciciran daripada kajian. Selain itu, tidak semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati, yang bermaksud beberapa hasil adalah berdasarkan bilangan orang yang lebih rendah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information