Mesej utama
• Kedua-dua skor FIB-4 dan indeks Forns boleh digunakan pada fasa awal siasatan untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami parut hati.
• Sebaik-baiknya skor FIB-4 digunakan untuk menolak parut tahap 3 (fibrosis serius) atau tahap 4 (sirosis).
• Sebaik-baiknya gunakan indeks Forns untuk mendiagnos pesakit dengan parut tahab tahap 2 (fibrosis signifikan).
Mengapakah penambahbaikan diagnosis parut hati penting?
Jangkitan Hepatitis C merupakan penyebab utama parut hati (fibrosis). Tanpa rawatan, parut hati boleh menjadi bentuk yang lebih serius yang dipanggil sirosis hati, yang kebanyakkannya tidak dapat dipulihkan dan boleh mengakibatkan kegagalan fungsi hati atau barah. Pada masa ini, ujian yang terbaik untuk mendiagnos fibrosis hati ialah biopsi hati, yang melibatkan pengambilan tisu hati dengan jarum dan membuat penelitian menggunakan mikroskop. Walau bagaimanapun, biopsi hati bersifat invasif, mahal, menyakitkan, dan mendatangkan risiko yang serius seperti perdarahan. Mendiagnos fibrosis hati secara tepat melalui ujian bukan invasif seperti skor FIB-4 dan indeks Forns akan memanfaatkan pesakit dan sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, ketepatan diagnostik ujian tersebut (iaitu, setepat mana ujian tersebut dapat menentukan peringkat penyakit) dalam kalangan pesakit dengan jangkitan hepatitis C masih tidak jelas.
Apakah itu skor FIB-4 dan ujian indeks Forns?
Skor FIB-4 dan indeks Forns merupakan ujian untuk menentukan tahap fibrosis hati. Ujian-ujian ini menggabung keputusan makmal standard dengan faktor-faktor seperti umur untuk mengira skor yang menganggarkan jumlah parut hati. Berbading biopsi hati, ujian-ujian ini mudah, murah, mudah didapati, secara relatifnya kurang menyakitkan dan bebas risiko.
Setiap ujian mempunyai dua nilai ambang: tinggi/mengesahkan diagnosis dan rendah/menolak diagnosis. Jika keputusan seseorang itu berada di bawah tahap nilai ambang rendah, mereka tidak mempunyai tahap fibrosis tersebut. Jika keputusan seseorang itu berada di atas nilai ambang tinggi, mereka mempunyai tahap fibrosis tersebut. Jika skor seseorang itu berada di antara dua nilai ambang tersebut, ujian itu tidak membantu memandangkan ia tidak boleh mengesahkan atau menolak diagnos fibrosis. Ini di panggil 'kawasan kelabu'. Seseorang yang memperoleh skor dalam 'kawasan kelabu' harus menjalani ujian lanjut, seperti biopsi hati.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menentukan sejauh mana skor FIB-4 dan indeks Forns dapat mendiagnos tahap fibrosis hati yang berbeza dalam kalangan pesakit hepatitis C kronik, berbanding keputusan daripada biopsi hati.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menilai ketepatan diagnostik skor FIB-4 atau indeks Forns (atau kedua-duanya) dalam kalangan pesakit hepatitis C. Kami telah menggabungkan keputusan kajian-kajian ini.
Apakah yang kami temui?
Kami memasukan 84 kajian yang melibatkan sejumlah 107,583 orang peserta. Kajian-kajian ini dijalankan di 28 buah negara dan diterbitkan antara tahun 2002 hingga 2021. Kami menganalisa keputusan daripada 62 kajian yangmelibatkan 100,605 orang peserta. Kami memilih kajian-kajian ini kerana ia menggunakan kedua-dua ujian tersebut dengan nilai ambang rendah dan tinggi yang setanding. Pendekatan ini bermakna kita lebih yakin tentang hasil analisa kami.
Dengan menggabung keputusan kajian bagi skor FIB-4 untuk mendiagnos fibrosis yang serius (tahap 3), kami boleh mengatakan perkara berikut untuk kumpulan hipotesis 1000 orang:
• menggunakan nilai ambang tinggi atau 'mengesahkan', 144 pesakit akan betul-betul didiagnosis menghidap fibrosis serius, manakala 48 orang akan tersilap didiagnosis dengan peringkat penyakit ini;
• menggunakan nilai ambang rendah atau 'menolak’, kemungkinan mempunyai fibrosis hati dapat diketepikan dengan tepat bagi 430 orang peserta, manakala 58 orang
dengan
fibrosis akan terlepas;
• dengan menggunakan kedua-dua nilai ambang bersama, lebih kurang satu pertiga peserta akan memerlukan ujian lanjut ('kawasan kelabu').
Dengan menggabungkan keputusan kajian bagi indeks Forns untuk mendiagnosis fibrosis signifikan (tahap 2), kami boleh mengatakan perkara berikut untuk kumpulan hipotesis 1000 orang:
• jika nilai ambang yang tinggi atau 'mengesahkan’ digunakan, 179 orang pesakit akan didiagnosis dengan fibrosis signifikan secara tepat, manakala 13 orang akan tersilap didiagnosis dengan tahap ini;
• menggunaka nilai ambang rendah atau 'menolak', kemungkinan menghidap fibrosis hati signifikan dapat ditolak secara tepat bagi 218 orang peserta, manakala 83 orang akan terlepas;
• dengan menggunakan gabungan kedua-dua nilai ambang bersama, lebih kurang satu pertiga peserta akan memerlukan ujian lanjut ('kawasan kelabu').
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti berkurangan kerana kebanyakan kajian ini mungkin telah terlebih menilai ketepatan diagnostik ujian tersebut. Selain itu, nombor yang dinyatakan di atas merupakan rumusan berdasarkan hasil pengumpulan daripada banyak kajian. Oleh sebab anggaran ketepatan berbeza-beza antara kajian-kajian tersebut, kami tidak dapat menentukan sama ada penggunaan skor FIB-4 atau indeks Forns akan sentiasa menghasilkan keputusan ini.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 13 April 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).