Sel stem untuk pencegahan dan rawatan displasia bronkopulmonari dalam bayi pramatang

Latar belakang

Displasia bronkopulmonari (BPD) adalah penyakit paru-paru kronik yang sering menyulitkan perjalanan bayi yang dilahirkan terlalu awal. Displasia bronkopulmonari boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius semasa zaman kanak-kanak dan kehidupan kemudian. Pada masa ini, tiada rawatan yang berkesan dan selamat untuk BPD. Sel stem mesenkimal (MSC), sel-sel yang boleh berlipat ganda dan berubah menjadi jenis sel yang berbeza, dapat melindungi kerosakan pada paru-paru yang baru lahir dalam model eksperimen BPD. Sel stem mesenkimal boleh membawa harapan baru untuk masalah kesihatan yang tidak dapat dirawat dalam bayi yang dilahirkan terlalu awal, termasuk BPD, dan dengan itu meningkatkan kelangsungan hidup dan kualiti hidup mereka.

Soalan sorotan

Adakah MSC, diberikan secara intravena atau endotrakea, selamat dan berkesan dalam mencegah atau merawat BPD, atau kedua-duanya, dalam bayi pramatang?

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mendapati tiada kajian klinikal yang membincangkan penggunaan MSC untuk pencegahan atau rawatan BPD dalam bayi pramatang. Walau bagaimanapun, beberapa kajian sedang dijalankan.

Keputusan utama

Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan keselamatan dan keberkesanan MSC untuk rawatan atau pencegahan BPD dalam bayi pramatang. Keputusan bagi kajian yang sedang dijalankan dijangka siap dalam masa terdekat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information