Kesan sampingan buruk dexamethasone apabila diberi kepada pesakit dewasa yang menjalani pembedahan

Latar belakang

Apabila ada jangkitan, tubuh memulakan proses keradangan. Dexamethasone adalah ubat steroid yang memperlahankan proses keradangan ini. Rawatan jangka panjang dengan ubat steroid mempunyai banyak kesan sampingan seperti peningkatan risiko jangkitan, tekanan darah tinggi, dan perkembangan diabetes. Semasa pembedahan, dexamethasone diberi kepada pesakit untuk mengurangkan risiko loya dan muntah selepas pembedahan, untuk melegakan sakit, dan membuat pesakit merasa lebih baik. Walau bagaimanapun, sama ada rawatan jangka pendek dengan dexamethasone membawa kepada sebarang kesan sampingan buruk tidaklah diketahui.

Soalan

Para pengulas menilai bukti semasa tentang kesan sampingan rawatan jangka pendek dengan dexamethasone semasa pembedahan. Mereka membandingkan pesakit yang menerima dexamethasone dengan pesakit yang tidak menerima dexamethasone. Mereka melihat terutamanya jumlah jangkitan selepas pembedahan dan bilangan luka yang tidak sembuh dengan baik. Tambahan pula, oleh kerana rawatan jangka panjang dengan steroid boleh menyebabkan gula darah tinggi, mereka melihat respon gula darah dalam tempoh 24 jam pertama selepas pembedahan.

Apa yang kami dapati

Ciri-ciri kajian: para pengulas mencari empat pangkalan data digital untuk mencari semua kajian yang relevan mengenai topik ini. Bukti adalah terkini sehingga 29 Januari 2018. Mereka memperolehi sejumlah 37 kajian yang relevan. Satu kajian yang dimasukkan telah ditarik balik dan seterusnya dikeluarkan dari ulasan ini. Semua kajian yang dimasukkan melibatkan orang dewasa yang menjalani pembedahan. Sejumlah 26 kajian (4603 peserta) telah menilai kejadian jangkitan selepas pembedahan, sembilan kajian (1072 peserta) telah menyiasat penyembuhan luka yang tertunda, dan 10 kajian (595 peserta) telah melihat kesan dexamethasone terhadap gula darah.

Keputusan-keputusan utama: selepas mengumpul keputusan-keputusan, para pengulas mendapati dexamethasone tidak mempunyai kesan terhadap perkembangan jangkitan selepas pembedahan, dan luka-luka itu sembuh sama baiknya dalam kedua-dua kumpulan. Walau bagaimanapun, kualiti kajian adalah sederhana hingga rendah, yang bermaksud lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong kesimpulan yang pasti. Akhirnya, purata gula darah pesakit tanpa diabetes yang menerima dexamethasone sedikit lebih tinggi daripada pesakit yang tidak menerima dexamethasone (bukti berkualiti rendah). Dalam kalanhgan pesakit diabetes, kesan ini kelihatan lebih besar. Walau bagaimanapun, gula darah diukur dalam 74 pesakit dengan diabetes sahaja, yang bermaksud para pengulas tidak mendapat anggaran yang sangat tepat. Mereka menilai ini sebagai kualiti bukti yang sangat rendah.

Kesimpulan penulis: dexamethasone mungkin tidak meningkatkan risiko jangkitan selepas pembedahan. Tiada maklumat yang cukup untuk menentukan sama ada dexamethasone mempunyai kesan kepada masa yang diperlukan untuk penyembuhan luka pembedahan. Walau bagaimanapun, kajian yang dimasukkan tidak memfokus kepada pesakit yang berisiko tinggi untuk penyembuhan luka yang tertunda, misalnya, pesakit dengan diabetes atau mereka yang mengambil steroid; oleh itu lebih banyak kajian diperlukan dalam topik ini. Di samping itu, seseorang perlu ingat bahawa mengambil dexamethasone membawa kepada peningkatan sederhana dalam gula darah. Bagi pesakit diabetes, bukti yang sangat terhad mencadangkan peningkatan gula darah yang lebih tinggi. Sama ada peningkatan kecil dalam gula darah mempunyai kesan ke atas penyembuhan luka pembedahan masih belum dapat ditentukan. Dua kajian yang sedang menunggu klasifikasi dan tiga kajian yang sedang berlangsung mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini, apabila dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information