Ubat oral untuk rawatan wanita dengan diabetes gestasi

Apakah isunya?

Bilangan wanita yang dikenal pasti menghidap diabetes mellitus semasa kehamilan (GDM) semakin meningkat di dunia. GDM merupakan tidak tahan terhadap glukosa yang menyebabkan paras gula dalam darah meningkat pertama kali yang dikenal pasti semasa kehamilan dan biasanya akan pulih setelah kelahiran. Penjagaan standard melibatkan nasihat gaya hidup mengenai pemakanan dan senaman. Rawatan bagi sesetengah wanita termasuklah ubat anti-diabetes oral, seperti metformin dan glibenclamide, yang merupakan pilihan alternatif insulin atau boleh digunakan bersama dengan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah. Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat manfaat pengambilan ubat-ubatan oral untuk merawat GDM pada ibu-ibu mengandung. Ulasan Cochrane lain membandingkan kesan insulin dengan terapi farmakologi anti-diabetes oral. ( Brown 2016).

Mengapakah ini penting?

Wanita yang didiagnosis dengan GDM berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi seperti tekanan darah tinggi semasa kehamilan dan semasa kelahiran. Mereka dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap diabetes pada masa hadapan. Bayi wanita yang didiagnosis dengan GDM boleh menjadi lebih besar dari biasa dan ini boleh mengakibatkan kecederaan kepada ibu dan bayi semasa kelahiran. Kelahiran lebih cenderung untuk diinduksi atau bayi dilahirkan melalui pembedahan caesarean. Bayi-bayi ini berisiko menghidap diabetes ketika kanak-kanak atau dewasa muda. Mencari ubat terbaik untuk merawat wanita dan mencegah komplikasi yang berkaitan dengan GDM adalah penting.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari kajian-kajian pada 14 Mei 2016. Kami telah menyertakan 11 kajian rawak terkawal yang melibatkan 1487 ibu dan bayi mereka (tetapi hanya lapan kajian yang memberikan data kepada analisis kami). Bukti adalah terhad oleh kualiti dan bilangan kajian dan kami menasihatkan supaya melihat keputusansan secara berhati-hati.

Kriteria bagi diagnosis GDM dan sasaran rawatan berbeza antara kajian, dan setiap hasil bergantung kepada beberapa kajian dengan bilangan wanita yang rendah. Tiga kajian membandingkan ubat oral dengan plasebo/penjagaan standard tetapi dapatan berikut berasal daripada satu kajian tunggal (375 wanita). Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Kami tidak menjumpai perbezaan antara kumpulan ubat oral dan plasebo untuk risiko tekanan darah tinggi, kelahiran melalui pembedahan caesarean, induksi persalinan atau kecederaan perineum. Bilangan bayi yang besar-untuk-umur kandungan dilahirkan , dengan paras gula rendah atau kematian semasa kelahiran tidak jelas berbeza antara kedua-dua kumpulan. Dua kajian (434 wanita) melaporkan bahawa tidak ada perbezaan dalam keperluan insulin antara kumpulan ubat-ubatan oral dan plasebo.

Enam kajian membandingkan metformin dengan glibenclamide. Kualiti bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana. Kami tidak menjumpai perbezaan antara metformin dan glibenclamide dalam risiko tekanan darah tinggi (tiga kajian, 508 wanita, bukti kualiti sederhana), kelahiran melalui pembedahan caesarean (empat kajian, 554 wanita, bukti kualiti rendah), kecederaan perineum (dua kajian, 308 wanita, bukti berkualiti rendah) atau induksi persalinan (satu kajian, 159 wanita, bukti berkualiti rendah). Kami tidak menjumpai perbezaan antara metformin dan glibenclamide untuk bayi yang mempunyai paras gula rendah (empat kajian, 554 bayi, bukti berkualiti rendah), lahir besar-untuk-umur kandungan (dua kajian, 246 bayi) atau kematian semasa kelahiran (semua bukti berkualiti rendah atau sangat rendah). Dalam satu kajian, bayi ibu yang mengambil metformin mengalami risiko yang lebih rendah bagi sebarang hasil yang serius (gula darah rendah, kuning, lahir besar, masalah pernafasan, kecederaan semasa kelahiran atau kematian digabungkan) (bukti berkualiti rendah). Satu kajian kecil (43 wanita) yang membandingkan glibenclamide dengan acarbose melaporkan tiada perbezaan dalam hasil untuk ibu atau bayi mereka.

Tiada kajian yang dimasukkan memberi sebarang data mengenai banyak hasil yang telah ditentukan sebelum ini dalam kajian ini, termasuk hasil jangka panjang untuk ibu atau bayi sebagai kanak-kanak atau dewasa.

Apakah maksudnya?

Tiada bukti berkualiti tinggi yang sedia ada dan mencukupi untuk membimbing kita tentang sama ada ubat oral mempunyai hasil yang lebih baik bagi wanita dengan diabetes gestasi dan bayi mereka berbanding dengan plasebo atau sama ada satu ubat oral mempunyai hasil kesihatan yang lebih baik daripada ubat oral yang lain. Kerana kita masih tidak jelas, penyelidikan lanjut diperlukan. Kajian-kajian masa depan harus digalakkan untuk melaporkan hasil yang dicadangkan dalam ulasan ini dan terutamanya hasil jangka panjang untuk wanita dan bayi yang telah dilaporkan dengan kurang baik sehingga kini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Universiti). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information