Penarikan antihipertensi untuk mencegah penurunan kognitif

Latar belakang

Demensia dan gangguan kognitif merupakan kebimbangan kesihatan seluruh dunia yang membebankan pesakit dan penjaga, serta meningkatkan kos penjagaan kesihatan. Oleh itu, ia adalah penting untuk mengenal pasti cara-cara untuk mencegah kejadian ini. Penyelidikan terdahulu telah mencadangkan bahawa penarikan (berhenti) ubat penurun tekanan darah mungkin meningkatkan aliran darah ke otak dan dapat mencegah masalah ingatan dan pemikiran pada usia yang lebih tua. Dalam ulasan ini, kami menyertakan kajian klinikal yang membandingkan kesan pada ingatan dan pemikiran selepas menarik ubat penurun tekanan darah berbanding penerusan ubat-ubatan ini.

Kajian yang dimasukkan

Kami menjumpai dua kajian yang relevan dengan 2490 peserta. Kedua-dua kajian itu berbeza dalam beberapa cara. Salah satu kajian menarik balik ubat selama tujuh hari sejurus selepas strok, satu lagi menarik ubat selama tiga bulan pada orang dewasa yang lebih tua dengan masalah ingatan awal.

Keputusan

Kedua-dua kajian itu tidak melaporkan kes baru demensia, sebaliknya mereka menggambarkan prestasi pada ujian standard ingatan dan pemikiran. Kajian orang dewasa yang lebih tua tidak menemui perbezaan antara peserta yang berhenti dan peserta yang meneruskan pengambilan ubat. Kajian strok mendapati skor ujian yang lebih baik pada peserta yang berhenti ubat, tetapi ini mesti ditafsirkan dengan berhati-hati kerana ia diukur dalam populasi pesakit tertentu. Seperti yang dijangkakan, tekanan darah meningkat dalam kedua-dua kajian dalam kumpulan yang berhenti ubat penurun tekanan darah mereka, tetapi tiada peningkatan jangka pendek dalam serangan jantung, strok atau kematian.

Kesimpulan

Pada masa ini, tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan atau menyangkal kesan menghentikan ubat penurunan tekanan darah pada ingatan dan pemikiran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information