Soalan ulasan
Ulasan ini dihasilkan untuk menilai sama ada penggunaan cytokine dan faktor pertumbuhan boleh membantu kerengsaan mulut dan ulser semasa rawatan kanser.
Latar belakang
Kerengsaan mulut dan ulser (mukositis oral) adalah kesan sampingan rawatan kanser termasuklah kemoterapi, radioterapi kepala dan leher, dan terapi sasaran, yang melibatkan lebih 75% pesakit berisiko tinggi. Ulser boleh menyebabkan sakit yang teruk dan kesukaran untuk makan dan minum. Pesakit mungkin memerlukan ubat penahan sakit, mungkin perlu dimasukkan ke hospital dan mungkin juga dipasang tiub ke dalam perut atau vena.
Komplikasi-komplikasi tersebut mungkin mengganggu terapi kanser, bermaksud mereka tidak dapat menerima rawatan kanser yang terbaik, yang mungkin mengurangkan kelangsungan hidup. Pesakit kanser mempunyai sistem imun yang lemah akibat rawatan dan kurang upaya untuk melawan jangkitan. Ulser adalah luka terbuka dan mempunyai risiko bakteria memasuki badan menyebabkan jangkitan atau sepsis (tindakbalas keradangan berbahaya badan terhadap jangkitan).
Kerengsaan mulut dan ulser melibatkan kos sistem penjagaan kesihatan yang tinggi, namun terdapat intervensi pencegahan atau rawatan yang terbukti bermanfaat. Cytokine dan faktor pertumbuhan mungkin membantu penjanaan sel yang melapisi mulut, lantas mencegah atau mengurangkan mukositis oral dan kesan-kesan negatifnya.
Ciri-ciri kajian
Para penulis Kesihatan Oral Cochrane menjalankan sorotan kajian-kajian sedia ada dan bukti terkini sehingga 10 Mei 2017 Ia memasukkan 35 kajian (terbitan di antara 1993 dan 2017) dengan 3102 peserta yang dirawat untuk kanser, berumur daripada 1 hingga 87 tahun. Para penulis sorotan memasukkan kajian-kajian yang membandingkan cytokine dan faktor pertumbuhan untuk mencegah mukositis oral. Kajian-kajian tersebut dijalankan di seluruh dunia dan kerapkali di berbilang pusat, kebanyakan dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi.
Keputusan utama
Keputusan utama adalah berkenaan faktor pertumbuhan keratinosit (KGF). KGF mungkin mengurangkan risiko mukositis oral dalam kalangan dewasa yang menerima radioterapi kepala dan leher dengan kemoterapi (cisplatin atau fluorouracil) atau kemoterapi sahaja untuk kanser darah atau kanser campuran pepejal. KGF juga munkin mengurangkan risiko mukosistis oral dalam kalangan dewasa yang menerima transplan sumsum tulang/sel induk selepas terapi penyesuaian untuk kanser darah, tetapi keputusan ini kurang jelas kerana pelbagai faktor komplikasi. KGF dianggap intervensi yang secara relatifnya selamat. Tidak kelihatan sebarang kesan buruk yang serius pada mana-mana intervensi yang dinilai dalam ulasan ini.
Oleh kerana penyelidikan yang terhad, penulis ulasan tidak pasti akan sebarang kesan manfaat cytokine dan faktor pertumbuhn lain. Pada masa kini, tiada cukup bukti untuk memutuskan tentang penggunaan cytokine dan faktor pertumbuhan dalam kalangan kanak-kanak.
Kualiti bukti
Untuk mengurangkan mukositis oral dalam kalangan dewasa yang menerima radioterapi kepala dan leher dengan kemoterapi, para penulis ulasan menilai kualiti bukti bagi KGF sebagai sederhana hingga tinggi. Untuk mengurangkan mukositis dalam kalangan dewasa yang menerima kemoterapi sahaja untuk kanser darah dan campuran pepejal, kami menilai bukti bagi KGF sebagai berkualiti rendah hingga sederhana. Bukti ini diturunkan skala kerana tiada cukup data dan sesetengah keputusan belum diterbitkan. Untuk mengurangkan mukositis oral dalam kalangan dewasa yang menerima transplan sumsum tulang/sel induk selepas terapi penyesuaian bagi kanser darah, bukti untuk KGF dinilai sebagai berkualiti rendah kerana keputusan tidak seragam dalam kajian-kajian dan sesetengah keputusan belum diterbitkan. Bukti tentang kesan sampingan KGF tidak dilapor dengan baik dan tak konsisten.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my