Rawatan untuk keletihan yang melampau dan kekurangan tenaga (kelesuan) bagi penghidap penyakit radang usus

Soalan ulasan

Apakah kesan rawatan menggunakan ubat dan bukan ubat terhadap kelesuan pada individu penghidap penyakit radang usus (Inflammatory Bowel Disease- IBD) berbanding dengan rawatan, plasebo (misalnya pil gula) atau rawatan aktif lain (contohnya rawatan berkesan yang diketahui)?

Latar belakang

IBD adalah penyakit kronik yang dihidapi seumur hidup ianya menyebabkan keradangan dan pembentukan ulser pada usus. Crohn’s dan kolitis ulseratif (Ulcerative Colitis) adalah dua jenis IBD yang utama. Mereka yang menghidap IBD sering mengalami kelesuan, yang boleh membebankan dan memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup mereka. Rawatan yang berbeza, seperti ubat-ubatan dan senaman, mungkin dapat mengurangkan kelesuan. Walau bagaimanapun, keberkesanan rawatan yang ada terhadap kelesuan yang dialami oleh penghidap IBD adalah tidak jelas. Ulasan ini menunjukkan bukti yang ada mengenai keberkesanan rawatan terhadap kelesuan dalam IBD.

Tarikh carian

Carian menyeluruh dilakukan dari mula hingga Julai 2018. Carian tambahan telah dijalankan pada bulan Oktober 2019.

Ciri-ciri kajian

Empat belas kajian (3741 peserta dengan IBD) memenuhi kriteria carian. Sembilan kajian menggunakan ubat yang berbeza, empat kajian bukan ubat dan satu kajian multimodular (ubat dan bukan ubat sekaligus) dimasukkan dalam ulsan ini. Tiga puluh kajian yang sedang dijalankan juga dikenal pasti dan lima kajian sedang menunggu klasifikasi. Hanya empat kajian menyatakan tujuan intervensi sebagai rawatan kelesuan. Kajian yang selebihnya, menyatakan tujuan intervensi adalah bagi merawat gejala-gejala lain, termasuk kelesuan. Data mengenai kelesuan tidak didapati untuk empat belas kajian tersebut. Oleh itu, hasil ulasan ini adalah berdasarkan 1344 peserta dalam sembilan kajian. Kebanyakkan kajian bersaiz kecil dan mempunyai kualiti bukti yang rendah atau sangat rendah.

Hasil utama dan kualiti bukti

Bukti menunjukkan bahawa elektroakupuntur mungkin mengurangkan kelesuan dengan banyak dibandingkan dengan kawalan dan elektroakupunktur palsu, namun, kepastian keseluruhan bukti adalah rendah disebabkan oleh data yang sangat sedikit. Tidak ada kejadian sampingan yang dilaporkan, kecuali satu kejadian sampingan dalam kumpulan akupunktur palsu.

Kami sangat tidak pasti mengenai kesan terapi tingkah laku kognitif dan terapi yang berfokus pada penyelesaian terhadap kelesuan, kerana kualiti buktinya yang sangat rendah.

Satu kajian kecil mendapati bahawa nasihat untuk melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan omega 3 dan juga nasihat untuk melakukan aktiviti fizikal serta plasebo mungkin dapat mengurangkan kelesuan berbanding dengan tidak ada nasihat melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan omega 3. Kejadian sampingan adalah serupa pada kumpulan aktiviti fizikal, walaupun begitu lebih banyak kejadian sampingan dilaporkan dalam kumpulan tiada nasihat melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan omega 3. Kesan sampingan kebanyakannya adalah gejala gastrointestinal ringan seperti cirit-birit dan kembung

Berbanding plasebo, ubat alimumab 40 mg, yang diberikan setiap minggu, boleh mengurangkan kelesuan pada pesakit dengan Crohn’s disease yang aktif peringkat sederhana hingga peringkat teruk, di kalangan pesakit yang sudah diketahui memberikan tinda balas positif terhadap rawatan adalimumab, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Pesakit yang mengambil adalimumab 40 mg setiap minggu berkemungkinan kurang mengalami kesan sampingan yang serius atau menarik diri dari kajian kerana kesan sampingan, berbanding pesakit yang mengambil plasebo.

Bukti menunjukkan bahawa ferric maltol menyebabkan sedikit peningkatan kelesuan pada peserta ujian yang menghidap Crohn’s disease dan kolitis ulseratif, iaitu mereka yang dalam keadaan remisi atau mereka yang penyakitnya aktif peringkat ringan hingga sederhana. Setelah 12 minggu menerima rawatan ferric maltol, kurang kelesuan dilaporkan dalam kumpulan plasebo berbanding kumpulan rawatan, namun, kualiti bukti adalah rendah.

Kesimpulan

Kesan intervensi bagi rawatan kelesuan pada IBD masih tidak dapat dipastikan, dengan bukti terhad yang ada. Tidak ada kesimpulan yang kukuh mengenai manfaat dan kemudaratan (misalnya kesan sampingan) yang boleh dibuat. Kajian lebih lanjut yang berkualiti tinggi, dengan jumlah peserta yang lebih besar, diperlukan untuk menentukan potensi kesan rawatan terhadap kelesuan dalam IBD. Kajian masa hadapan harus menilai kelesuan sebagai hasil utama, dirancang khusus untuk pengurusan kelesuan dan disasarkan pada populasi IBD tertentu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information