Adakah dos mingguan paclitaxel meningkatkan kelangsungan hidup, berbanding dengan dos tiga kali seminggu paclitaxel dalam rawatan awal kanser ovari?

Latar belakang
Kanser ovari adalah kanser keenam yang paling biasa di seluruh dunia. Rawatan terdiri daripada gabungan pembedahan dan kemoterapi (kebiasaannya termasuk paclitaxel dan carboplatin), dengan tujuan untuk mengurangkan atau melambatkan kanser berulang (dikenali sebagai kelangsungan hidup tanpa perkembangan (progression-free survival, PFS)), serta meningkatkan peluang untuk melangsungkan hidup selepas mendapat kanser (dikenali sebagai kelangsungan hidup keseluruhan (overall survival, OS)). Beberapa percubaan klinikal (kajian) telah menyiasat sama ada jadual dos (masa) paclitaxel mempengaruhi hasil ini. Walau bagaimanapun, hasil daripada kajian yang dilaporkan adalah bercanggah.

Tujuan ulasan
Kami menyemak bukti tentang kesan jadual paclitaxel yang berbeza terhadap kelangsungan hidup pada wanita dengan kanser ovari yang baru didiagnos.

Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga 15 November 2021. Kami memasukkan empat kajian dengan jumlah 3699 peserta. Semua kajian yang disertakan merupakan percubaan rawak terkawal (percubaan klinikal di mana orang dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) di mana wanita berumur 18 tahun atau lebih dengan kanser ovari yang baru didiagnos. Kajian-kajian ini membandingkan dos paclitaxel mingguan dengan tiga mingguan, ditambah dengan carboplatin.

Penemuan utama
Kami mendapati bahawa, berbanding dengan dos paclitaxel tiga mingguan, paclitaxel mingguan ditambah carboplatin berkemungkinan meningkatkan sedikit kelangsungan hidup tanpa perkembangan, walaupun menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup keseluruhan (bukti kepastian tinggi).

Untuk kesan buruk, kami mendapati bahawa paclitaxel mingguan ditambah carboplatin mungkin akan menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kiraan neutrofil rendah yang teruk (sejenis sel darah putih yang membantu melawan jangkitan)(bukti kepastian sederhana); meningkatkan anemia yang teruk (paras haemoglobin - komponen penting sel darah merah)(bukti kepastian tinggi) dan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kerosakan serius pada saraf (bukti kepastian rendah).

Kesimpulan
Dos mingguan paclitaxel berkemungkinan memanjangkan kelangsungan hidup tanpa perkembangan berbanding dengan dos paclitaxel tiga mingguan, apabila ditambah dengan carboplatin dalam rawatan awal kanser ovari. Walau bagaimanapun, ia tidak meningkatkan kelangsungan hidup secara keseluruhan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information