Penggunaan bahan reflektif semasa fototerapi untuk bayi dengan penyakit kuning

Soalan ulasan: Kami ingin mengenal pasti adakah penggunaan langsir yang diperbuat daripada bahan reflektif yang digantung dari sisi unit fototerapi meningkatkan keberkesanan fototerapi.

Latar belakang: Jaundis (perubahan warna kuning pada kulit) berlaku pada sehingga 60% bayi. Hal ini disebabkan oleh pengumpulan bilirubin. Peningkatan bilirubin pada tahap ringan dianggap normal, tetapi ketika kadarnya sangat tinggi, bilirubin dapat memasuki otak dan menyebabkan kecederaan otak. Rawatan yang menggunakan garis panduan khusus dari aspek usia dan risiko bertujuan untuk mencegah bilirubin daripada mencapai tahap tersebut. Fototerapi (pendedahan tubuh badan dengan cahaya panjang gelombang yang tertentu) adalah rawatan standard, dan intensiti cahaya terhadap kulit adalah salah satu faktor yang menentukan kadar penurunan bilirubin. Kaedah murah yang berpotensi untuk meningkatkan intensiti cahaya ialah dengan menggunakan bahan pantulan. Salah satu kebimbangannya ialah langsir ini mungkin akan menyebabkan bayi terselindung daripada pandangan.

Ciri-ciri kajian: Kami telah menyertakan percubaan terkawal secara rawak (RCT). Pencarian ini terkini sejak 1 November 2019.

Keputusan utama: Kami menjumpai 12 kajian dengan jumlah responden sebanyak 1288 bayi. Daripada jumlah tersebut, 11 telah membandingkan satu unit cahaya dengan, atau tanpa bahan pantulan di sekitar lampu. Satu percubaan kajian telah membandingkan satu unit cahaya dan bahan pantulan dengan dua unit cahaya tanpa langsir. Jenis bahan reflektif termasuk plastik putih, linen putih, dan aluminium yang dilapisi pada tiga atau empat sisi katil bayi.

Kami telah menemui data yang mencukupi berkenaan hasil kajian yang terutama - penurunan bilirubin - dalam 11 kajian yang melibatkan 1132 bayi: 10 untuk perbandingan yang pertama dan satu untuk perbandingan yang kedua.

Tiga kajian melaporkan penurunan bilirubin pada empat hingga lapan jam. Bukti kepastian sederhana menunjukkan perbezaan kecil tetapi penting secara klinikal yang menyokong penggunaan langsir. Penurunan bilirubin selama 24 jam diukur dalam sembilan kajian. Semua kajian menunjukkan penurunan bilirubin yang lebih cepat pada kumpulan langsir, tetapi penurunannya adalah tidak konsisten dengan jurang yang luas sehingga menyebabkan adalah tidak bermakna untuk mengira ukuran kesannya. Empat kajian telah melaporkan tempoh masa fototerapi diperlukan lebih pendek ketika langsir reflektif digunakan, tetapi tahap kepastiannya adalah sangat rendah. Bukti kepastian sederhana daripada dua kajian menunjukkan bahawa intervensi tersebut mengurangkan tempoh untuk dirawat di hospital sehingga hampir dua hari. Tidak ada laporan mengenai kejadian buruk yang penting, seperti ketidakstabilan suhu atau kejadian yang mengancam nyawa akibat langsir yang melindungi bayi, atau kesan-kesan kecil yang lain. Hal ini bermaksud bahawa langsir reflektif secara keseluruhan mungkin memberi manfaat, tetapi kami tidak pasti sama ada ia akan mengundang mudarat. Tidak ada kajian yang melaporkan bahawa ibu bapa atau pegawai kesihatan berpuas hati dengan langsir, atau sama ada langsir tersebut mempunyai kesan terhadap kadar penyusuan susu ibu.

Satu percubaan kajian telah membandingkan penggunaan satu unit cahaya dengan langsir dengan penggunaan dua unit cahaya tanpa langsir dan menunjukkan hasil yang serupa untuk kedua-dua kumpulan intervensi dan kawalan.

Kepastian bukti: Bukti adalah berkualiti sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information