Mengapakah ulasan ini penting?
Kelakuan memuratkan diri sendiri (SH), yang termasuk meracunkan diri sendiri /ubat berlebihan dan mencederakan diri sendiri, merupakan masalah utama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di banyak negara dan berkait rapat dengan risiko membunuh diri pada masa depan. Oleh itu, rawatan berkesan untuk pesakit SH adalah sangat penting untuk dikembangkan.
Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?
Para doktor yang bekerja dengan golongan muda yang terlibat dalam SH, pembuat dasar, orang muda yang sendiri telah terlibat dalam SH atau mungkin berisiko untuk berbuat demikian, dan keluarga mereka serta saudara-mara.
Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?
Ulasan ini adalah kemaskini ulasan Cochrane sebelumnya pada tahun 1999, yang mendapati sedikit sahaja bukti berfaedah kesan intervensi untuk pesakit SH yang ditujukan secara spesifik kepada kalangan kanak-kanak dan remaja. Kemaskini ini bertujuan untuk menilai dengan lebih lanjut tentang keberkesanan rawatan psikososial dan farmakologi untuk kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam SH dengan hasil yang lebih luas, terutamanya berkaitan dengan penyiasatan sama ada terdapatnya rawatan khusus untuk kanak-kanak dan remaja yang mempunyai SH, yang mampu mendapat faedah yang lebih banyak berbanding dengan rawatan rutin dari segi kepatuhan rawatan dan peningkatan kesihatan psikologi.
Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?
Untuk disertakan ke dalam ulasan ini, kajian-kajian mestilah kajian rawak terkawal sama ada rawatan psikososial atau farmakologi untuk kanak-kanak dan remaja berumur hingga 18 tahun yang baru melakukan SH, dan hadir untuk servis klinikal.
Apakah yang diberitahu oleh bukti daripada ulasan tersebut?
Adalah mengejutkan apabila tidak banyak penyelidikan mengenai rawatan SH dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, walaupun sebilangan besar masalah ini berlaku di banyak negara. Pemberian penilaian terapeutik mungkin dapat meningkatkan kehadiran pada sesi rawatan berikutnya. Hanya satu pendekatan terapi - mentalisasi - yang dikaitkan dengan penurunan frekuensi pengulangan SH. Walau bagaimanapun, kesan ini hanya adalah sederhana dan kajiannya kecil, yang menghalang kita daripada membuat kesimpulan yang tegas mengenai keberkesanan rawatan tersebut. Tiada bukti yang jelas mengenai keberkesanan untuk peningkatan kepatuhan, psikoterapi berdasarkan terapi tingkah laku kognitif individu (CBT), campur tangan keluarga dari rumah, atau pemberian kad kecemasan, atau tidak ada bukti yang jelas untuk terapi berkumpulan untuk remaja dengan riwayat episod SH berulang kali.
Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Penilaian terapi, mentalisasi, dan terapi tingkah laku dialektik memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut. Walaupun dalam satu kajian kecil, psikoterapi berdasarkan CBT secara individu kelihatan tidak berkesan, penilaian lebih lanjut terhadap rawatan ini juga diharapkan memandangkan hasil yang baik didapati pada orang dewasa yang SH. Memandangkan tahap SH dalam kanak-kanak dan remaja, perhatian yang lebih besar harus diberikan kepada pengembangan dan penilaian terapi khusus untuk populasi ini.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah bin Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my