Intervensi celik kesihatan untuk pesakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?
Pengurusan jangka panjang penyakit buah pinggang kronik (CKD) memerlukan penghidap penyakit itu terlibat dalam penjagaan mereka sendiri kerana penyakit ini adalah penyakit kronik yang kompleks. Ramai orang yang menghidap CKD mungkin tidak memahami cara menggunakan maklumat kesihatan untuk menyokong keputusan mereka tentang rawatan dan pengurusan yang terbaik. Keupayaan atau kemahiran ini disebut sebagai celik kesihatan. Meningkatkan celik kesihatan penghidap CKD boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka dan membantu mereka menguruskan penyakit mereka serta mengelakkan komplikasi.

Apa yang kami buat?
Kami mencari maklumat untuk sebarang kajian yang termasuk intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan celik kesihatan terhadap orang yang menghidap CKD. Intervensi tersebut dibahagikan kepada intervensi pendidikan, intervensi latihan pengurusan diri, dan intervensi latihan pendidikan dengan pengurusan diri.

Apakah yang kami temui?
Kami mendapati terdapat 120 kajian yang melibatkan 21,149 pesakit. Berbanding dengan penjagaan biasa, intervensi pendidikan boleh meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan buah pinggang; namun, maklumat tentang penjagaan diri, keberkesanan diri, kualiti hidup (QoL), kematian, fungsi buah pinggang dan kemasukan ke hospital tidak dapat dianalisis atau tidak dilaporkan. Intervensi pengurusan diri boleh meningkatkan keberkesanan diri dan satu aspek QoL (skor komponen fizikal) tetapi mungkin tidak melambatkan penurunan fungsi buah pinggang selepas satu tahun. Maklumat tentang pengetahuan, tingkah laku penjagaan diri, kematian dan kemasukan ke hospital tidak dapat dianalisis atau tidak dilaporkan. Pendidikan dengan intervensi pengurusan diri boleh meningkatkan pengetahuan, meningkatkan skor tingkah laku penjagaan diri, efikasi kendiri, satu aspek QoL (skor komponen fizikal), dan mungkin mengurangkan risiko kematian, tetapi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk memperlahankan penurunan dalam fungsi buah pinggang. Data untuk kemasukan ke hospital tidak dapat dianalisis.

Kesimpulan

Intervensi untuk meningkatkan aspek literasi kesihatan adalah kategori yang sangat luas, termasuk intervensi pendidikan, intervensi pengurusan diri dan intervensi pendidikan dengan pengurusan diri. Secara amnya, intervensi literasi kesihatan jenis ini mungkin bermanfaat kepada pesakit CKD. Namun, disebabkan keterbatasan kaedah kajian dan kebolehubahan yang tinggi dalam intervensi dan hasil menyebabkan sukar untuk memberikan sebarang cadangan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman (PPM). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information