Apakah faedah dan risiko utama ubat untuk mengurangkan tekanan darah dalam rawatan individu dengan penebalan otot jantung disebabkan oleh tekanan darah tinggi?

Mesej utama

Memandangkan kekurangan bukti yang kukuh, faedah dan risiko penambahan ubat tambahan untuk mengurangkan tekanan darah dalam rawatan individu yang mengalami penebalan otot jantung dan tekanan darah tinggi adalah tidak jelas.

Ianya adalah tidak jelas sama ada menambahkan ubat untuk mengurangkan tekanan darah menyebabkan kemudaratan yang lebih serius pada pesakit berbanding plasebo (rawatan dummy) atau tanpa rawatan; namun, ini boleh meningkatkan pemberhentian rawatan disebabkan kesan yang tidak diingini.

Kajian masa depan adalah diperlukan untuk lebih memahami faedah dan bahaya penambahan ubat yang mengurangkan tekanan darah dalam individu dengan penebalan otot jantung yang disebabkan tekanan darah tinggi.

Apakah itu penebalan otot jantung?

Penebalan otot jantung ialah keadaan di mana otot bertambah besar dan mempengaruhi fungsi jantung. Ini boleh berlaku apabila jantung telah bekerja terlalu keras untuk dari masa ke masa dan terutamanya disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Individu dengan penebalan otot jantung boleh mengalami sesak nafas, keletihan, sakit dada, berdebar-debar dan pening atau pengsan.

Bagaimanakah penebalan otot jantung dirawat?

Penebalan otot jantung boleh dirawat dengan ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan darah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penambahan ubat untuk mengurangkan tekanan darah adalah lebih baik daripada plasebo atau tanpa rawatan untuk mencegah penyakit dan kematian dalam individu dengan penebalan otot jantung dan tekanan darah tinggi.

Kami juga ingin mengetahui sama ada penambahan ubat untuk mengurangkan tekanan darah dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang meneliti penambahan ubat untuk mengurangkan tekanan darah berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan ubat.

Kami telah membandingkan dan merumuskan kuputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kumpulan peserta kajian.

Apakah yang telah kami jumpai?

Kami telah menjumpai 3 kajian yang melibatkan 930 individu dengan penebalan otot jantung dan tekanan darah tinggi. Kajian terbesar melibatkan 692 peserta dan kajian terkecil melibatkan 15 individu. Peserta kajian melibatkan kedua-dua jantina and purata umur peserta adalah antara 66 sehingga 75 tahun. Peserta diikuti untuk tempoh antara tiga 3 hingga empat tahun. Kajian dijalankan di beberapa negara di Eropah, Asia, dan Amerika Utara dan Selatan. Satu kajian teleh menerima pembiayaan industri farmaseutikal.

Ianya tidak dapat dipastikan jika penambahan ubat untuk mengurangkan tekanan darah mempunyai kesan pada kematian, perkembangan penyakit jantung dan saluran darah, atau ketika dimasukkan di hospital untuk kegagalan jantung. Ianya tidak jelas jika penambahan ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan darah menyebabkan kemudaratan yang lebih serius daripada plasebo atau tanpa rawatan ubat, tetapi ia boleh meningkatkan pemberhentian rawatan disebabkan oleh kesan yang tidak diingini. Ianya tidak jelas sama ada penambahan ubat untuk mengurangkan tekanan darah mempunyai kesan pada jisim otot jantung.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti kurang disebabkan jumlah kajian yang dikenal pasti kecil. Bukti yang tersedia ada adalah berdasarkan sebilangan kecil individu dengan penebalan otot jantung dan tekanan darah tinggi yang dikenal pasti daripada populasi yang lebih besar dalam kajian yang termasuk. Bukti selanjutnya mungkin mengubah penemuan kami.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti ini adalah terkini sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information