Soalan ulasan
Adakah ataluren (dan sebatian-sebatian serupa yang secara khusus menyasarkan mutasi kelas I yang terbabit dalam fibrosis sista (CF)) dapat meningkatkan kualiti hidup dan fungsi paru-paru mereka dengan CF tanpa mendatangkan kesan buruk?
Mesej utama
Apakah itu fibrosis sista (cystic fibrosis, CF)?
Dalam kalangan penghidap CF, terdapat kerosakan pada gen yang mengandungi kod untuk penghasilan protein pengatur kealiran rentasmembran fibrosis sista (cystic fibrosis transmembrane conductance regulator, CFTR). Hal ini menjejaskan saluran pernafasan, lantas menyebabkan permukaan saluran udara mengering lalu menyukarkan pembuangan kahak yang pekat. Perkara ini menjurus kepada jangkitan yang progresif dan merosakkan paru-paru, justeru memendekkan jangka hayat pesakit.
Bagaimanakah ataluren merawat CF?
Dalam kalangan pesakit yang mempunyai mutasi genetik CF yang arahan genetik untuk menghasilkan protein CFTR terganggu (mutasi ini dikenali sebagai kodon penamatan pramatang atau mutasi kelas I), ataluren (dan ubat-ubatan seumpamanya) mungkin boleh melangkau jeda urutan gen yang rosak dan membolehkan badan pesakit menghasilkan protein CFTR yang diperbetulkan. Menerusi pembetulan protein itu, permukaan saluran pernafasan dapat kekal lembab, dan hal ini membolehkan penghidap CF membersihkan lendir mereka dengan lebih berkesan dan seterusnya mengurangkan jangkitan paru-paru.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ataluren dapat meningkatkan kualiti hidup dan fungsi paru-paru penghidap CF, dan sama ada ia dapat melakukan sedemikian tanpa sebarang kesan sampingan. Kami juga ingin mengukur kesan rawatan itu terhadap jangkitan paru-paru (keperluan pesakit untuk menggunakan perkhidmatan hospital atau antibiotik tambahan), kemandirian, status pemakanan (berat badan, indeks jisim badan dan ketinggian) dan sama ada rawatan tersebut kos efektif.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan secara langsung ubatan seperti ataluren dengan plasebo (rawatan yang tidak mengandungi ubatan aktif) atau rawatan lain yang berbeza untuk mutasi genetik khusus ini dalam mereka yang menghidap CF.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenalpasti dua kajian yang melibatkan 517 orang (lelaki dan wanita yang berumur antara 6 hingga 53 tahun) dan membandingkan ataluren dengan plasebo. Kajian tersebut berlangsung selama 48 minggu dan setiap orang yang terangkum dalam kajian itu mempunyai sekurang-kurangnya satu mutasi gen kelas I.
Keputusan utama
Dalam kalangan mereka yang mengambil ataluren, tiada peningkatan ketara dari segi hasil klinikal seperti kualiti hidup, fungsi paru-paru, kadar eksaserbasi (pemburukan penyakit secara tiba-tiba), tahap klorida (garam) dalam peluh atau berat badan jika dibandingkan dengan mereka yang diberikan plasebo. Kajian-kajian itu mendapati kerosakan buah pinggang adalah lebih kerap dalam kalangan mereka yang menagmbil ataluren.
Kajian terdahulu menganalisis keputusan mereka menggunakan kaedah yang tidak dirancang pada asalnya untuk menilai sama ada kesan ataluren dan plasebo berbeza dalam kalangan pesakit yang menggunakan tobramycin (sejenis antibiotik) sedutan dalam jangka masa panjang berbanding dengan merka yang tidak mengambil antibiotik sedutan itu. Dalam kalangan mereka yang mengambil ataluren tetapi tidak menggunakan tobramycin sedutan, fungsi paru-paru merosot pada kadar yang lebih perlahan dan terdapat eksaserbasi yang lebih sedikit berbanding mereka yang di dalam kumpulan plasebo yang juga tidak menggunakan tobramycin sedutan. Kajian terkemudian secara khusus memasukkan mereka yang tidak mengambil tobramycin untuk melihat sama ada ini sebenarnya kesan daripada antibiotik itu, tetapi para penyelidik tidak menemui sebarang perbezaan antara kumpulan ataluren dengan plasebo untuk perubahan dalam fungsi paru-paru atau eksaserbasi. Ini menunjukkan bahawa keputusan kajian terdahulu berlaku secara kebetulan.
Tiada kematian dilaporkan dan kami tidak menemui sebarang perbezaan antara kumpulan ataluren dan plasebo dalam kesan sampingan atau status pemakanan. Kajian-kajian itu tidak melaporkan mengenai kemasukan ke hospital, penggunaan antibiotik tambahan atau keberkesanan kos.
Kami tidak menemui bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menentukan keberkesanan ataluren dalam rawatan CF. Kami menyarankan agar kajian akan datang direkabentuk dan dilapaorkan dengan jelas supaya keputusan kajian dapat disertakan dalam ulasan sistematik.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan sederhana terhadap hasil penemuan kami, tetapi terdapat beberapa keraguan disebabkan jurang perbezaan keputusan yang luas antara peserta kajian. Kami berpuas hati bahawa setiap orang yang meneyrtai kajian-kajian itu diberikan peluang yang sama untuk berada dalam mana-mana kumpulan (ataluren atau plasebo) dan tiada sesiapa yang dapat menentukan kumpulan rawatan mana peserta seterusnya akan dimasukkan (agar peserta yang lebih sihat tidak menerima rawatan lantas menyebabkan keputusan kelihatan lebih baik). Kami percaya bahawa para doktor yang menjalankan kajian itu dan merka yang mengambil bahagian dalam kajian tidak mengetahui jenis rawatan yang sedang diterima oleh setiap orang. Kami mempunyai beberapa kebimbangan mengenai penekanan penyelidik daripada satu kajian terhadap hasil perbandingan yang mereka tidak rancang (iaitu penggunaan tobramycin sedutan jangka panjang). Malangnya, kajian itu tidak melaporkan semua keputusannya dengan jelas. Kadangkala, keputusan dilaporkan dalam cara yang menyebabkannya tidak sesuai untuk dirangkumi ulasan ini, dan kadangkala maklumat itu tidak dilaporkan sama sekali. Ini menjejaskan tahap keyakinan kami terhadap keputusan keseluruhan.
Sumber perdanaan kajian
Kedua-dua kajian telah ditaja oleh PTC Therapeutics Incorporated, yang membuat ataluren. Yayasan Fibrosis Sista, Pejabat Pembangunan Produk Tanpa Paten, Badan Pentadbiran Makanan dan Dadah AS dan Institut Kesihatan Kebangsaan AS juga menyokong kajian-kajian tersebut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami mencari bukti kali terakhir pada 4 Oktober 2022.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my