Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada menyediakan doktor dengan maklum balas kepatuhan ubat-ubatan pesakit mereka dengan penyakit kronik yang mengambil ubat untuk jangka panjang boleh memperbaiki kepatuhan, hasil pesakit, penggunaan sumber kesihatan, dan proses penjagaan.
Mesej utama
Menyediakan doktor dengan maklum balas kepatuhan ubat pesakit mereka boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan yang dipreskrib, hasil pesakit, dan penggunaan sumber kesihatan, tetapi ia boleh memperbaiki proses penjagaan. Kepastian bukti adalah rendah.
Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Para doktor cenderung untuk membuat anggaran yang berlebihan bagaimana pesakit mereka mengambil ubat seperti yang dipreskrib dan dengan itu terlepas peluang untuk memperbaiki kepatuhan. Peluang-peluang ini termasuk tindakan seperti menukar ubat, menyelesaikan kesan buruk, dan mencadangkan penggunaan peringatan ubat. Oleh itu, memaklumkan pakar perubatan tentang kepatuhan ubat pesakit mereka boleh menukar tingkah laku doktor dan seterusnya meningkatkan kepatuhan ubat.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami mendapati sembilan kajian yang direka dengan baik, melibatkan 23,255 pesakit. Semua kajian berlaku dalam persekitaran pesakit luar. Kami mendapati menyediakan doktor dengan maklum balas mengenai kepatuhan ubat pesakit mereka menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kepatuhan, hasil pesakit, atau penggunaan sumber kesihatan, tetapi ia mungkin memperbaiki proses penjagaan. Maklum balas kepada doktor sahaja mungkin tidak cukup untuk mempengaruhi kepatuhan. Kepastian bukti bagi setiap hasil adalah rendah.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 2 Disember 2016.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.