Soalan ulasan
Adakah anestesia setempat semasa operasi (perioperatif) mengurangkan sakit selepas pembedahan septum hidng dan adakah sebarang kesan buruk?
Latar belakang
Pembedahan septum diguna untuk merawat hidung tersumbat akibat septum hidung bengkok. Anestesia setempat diguna untuk mengurangkan sakit selepas operasi dan terdapat beberapa jenis (contohnya suntikan setempat, penambahan anestesia setempat kepada pek hidung, jika ini diguna untuk menguruskan perdarahan setelah operasi, dan blok saraf sekawasan). Kebanyakan pakar bedah bersetuju dengan penggunaan anestesia setempat, tetapi pilihan yang diguna bergantung kepada keutamaan pakar.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2018. Kami meyertakan tujuh kajian, yang merekrut 493 pesakit. Peserta adalah orang dewasa yang menjalani septoplasti dalam semua kajian yang disertakan dan peratusan wanita adalah antara 20.7% hingga 58.3%. Dua kajian, yang merekrut 142 peserta, menilai suntikan anestetik setempat. Empat kajian, yang merekrut 301 peserta, menggunakan pek hidung selepas operasi dan menilai penambahan anestetik setempat ke dalam pek hidung. Satu kajian, yang merekrut 50 peserta, menilai blok saraf sekawasan. Tiada kajian dibiaya oleh pengilang ubat anestetik.
Keputusan utama
Suntikan anestetik setempat berbanding tiada rawatan/plasebo
Hasil utama yang kami lihat adalah kesan mengurangkan sakit pada 12, 24 dan 48 jam selepas operasi. Dua kajian menilai suntikan anestesia setempat, tetapi tidak melaporkan sakit pada tempoh tersebut. Adalah tidak jelas sama ada suntikan setempat meningkatkan muntah selepas operasi. Kedua-dua kajian tidak melaporkan perdarahan yang tidak terkawal selepas operasi.
Aplikasi anestetik setempat melalui pek hidung berbanding tiada pek/pek plasebo
Empat kajian yang menggunakan pek hidung selepas operasi menilai penambahan anestetik setempat kepada pek berbanding pek yang ditambah dengan plasebo. Empat daripada kajian tersebut melaporkan sakit pada 12 atau 24 jam (atau kedua-duanya) selepas operasi. Anestetik setempat yang ditambah kepada pek hidung mengurangkan sakit sebanyak 17.0 mata di skala 100 mata pada 12 jam selepas operasi dan 7.5 mata pada 24 jam selepas operasi. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sakit pada 48 jam selepas operasi. Aplikasi anestetik setempat dengan pek hidung mengurangkan keperluan untuk analgesia tambahan (ubat penahan sakit) selepas operasi. Tiada kajian melaporkan muntah selepas operasi atau perdarahan tidak terkawal selepas operasi.
Tiada kajian menilai aplikasi anestetik setempat pek hidung berbanding tiada penggunaan pek hidung.
Blok saraf sekawasan berbanding tiada rawatan/plasebo
Satu kajian membandingkan blok saraf sekawasan tanpa rawatan, tetapi kajian tersebut tidak melaporkan sakit selepas operasi atau sebarang hasil kajian kami yang lain.
Kualiti bukti
Kami menggred kualiti bukti penggunaan anestesia setempat adalah rendah, yang bermakna lebih banyak kajian mungkin memberi impak penting ke atas keyakinan kami dalam anggaran kesan and kemungkinan besar menukar anggaran tersebut. Kami menurunkan kualiti bukti kerana jumlah pesakit dan kejadian yang sedikit. Kami menilai kualiti bukti penggunaan aplikasi anestetik setempat pek hidung sebagai rendah pada 12 jam selepas operasi dan sangat rendah pada 48 jam. Kami menurunkan kualiti bukti kerana pelaksanaan kajian yang buruk dan kerana keputusan kajian-kajian tersebut tidak selari antara kajian-kajian. Kami tidak menilai kualiti bukti untuk penggunaan blok saraf sekawasan kerana tiada hasil ulasan kami dilaporkan oleh kajian tunggal ini.
Kesimpulan
Penambahan anestesia setempat kepada pek hidung (jika ini digunakan) selepas pembedahan septum dapat mengurangkan sakit selepas operasi dalam tempoh 12 jam pertama selepas operasi berbanding pek hidung yang ditambah plasebo. Walau bagaimanapun, ulasan kami menunjukkan kekurangan bukti yang boleh dijadikan asas untuk membandingkan pelbagai jenis anestesia setempat. Ulasan ini patut mendorong penyelidikan lanjut yang membandingkan suntik anestesia setempat sebagai tambahan kepada pek hidung dan sebagai blok saraf sekawasan selepas pembedahan septum.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my