Latar belakang
Penyakit arteri periferal (PAD) berlaku bila aliran darah ke anggota kaki dan tangan terhad kerana penyempitan saluran arteri darah. Masalah pengaliran darah ini sedang meningkat di dalam populasi kerana peningkatan diabetis dan populasi warga tua. Disebabkan aliran darah yang terhad, PAD boleh menyebabkan kesakitan pada kaki ketika berjalan, biasanya selepas jarak tertentu (dikenali sebagai ‘klaudikasi intermiten’). Apabila sumbatan bertambah teruk, pesakit akan mengalami kesakitan serius walaupun ketika berehat, ulser di tapak kaki dan kaki (dikenali sebagai ‘iskemia anggota kritikal’). PAD boleh dirawat dengan ubat atau melalui intervensi prosedur-prosedur pembedahan atau endovaskular (kurang invasif berbanding pembedahan, intervensi endovaskular dilakukan melalui insisi kecil untuk mengakses saluran darah). Bagaimanapun, ubatan kurang berkesan pada ramai pesakit, dan prosedur-prosedur pembedahan atau endovaskular mungkin tidak sesuai kerana risiko perubatan yang tinggi. Dalam kes-kes ini, untuk PAD yang ekstrim, opsyen rawatan adalah dengan amputasi anggota. Terapi-terapi yang dapat membantu memulihkan saluran-darah di dalam kaki dan tangan pesakit PAD sangat diperlukan untuk mengembalikan aliran darah yang cukup pada anggota-anggota ini.
Terapi gen merupakan rawatan yang sangat baru di mana bahan genetik yang mempunyai kod protin tertentu yang mungkin dapat memulihkan saluran darah dan seterusnya meningkatkan aliran darah, disuntik ke dalam kaki pesakit tersebut. Kajian-kajian telah menunjukkan rawatan ini adalah selamat, tetapi samada ianya berkesan bagi mengurangkan risiko amputasi atau menambahbaik kualiti hidup masih tidak diketahui.
Soalan ulasan
Adakah terdapat perbezaan pada hasil keberkesanan (contoh, amputasi, kematian, penyembuhan ulser, dan kualiti hidup) diantara pesakit PAD bersimptom yang diberikan terapi gen dengan mereka yang tidak diberi terapi gen?
Ciri-ciri kajian
Kami masukkan 17 kajian yang mempunyai jumlah 1988 peserta (bukti terkini sehingga November 2017), Kajian-kajian ini menggunakan berbagai jenis terapi gen dan juga dos-dos yang berbeza, ada yang memberikan satu dos rawatan sahaja dan ada yang memberi rawatan berulang. Kebanyakan kajian melibatkan pesakit iskemia anggota kritikal; tiga kajian melibatkan pesakit klaudikasi intermiten.
Keputusan utama
Bila data digabungkan, kami tidak menemui perbezaan yang jelas antara peserta yang menerima terapi gen dan peserta yang tidak bila dinilai dari segi bebas amputasi (pesakit yang tidak menjalani amputasi dan tidak mati), amputasi major (di atas buku lali), atau kematian. Kami menjumpai penambahbaikan bagi penyembuhan ulser sepenuhnya dalam kumpulan rawatan terapi gen berbanding dengan kumpulan kawalan. Kajian-kajian menunjukkan tiada perbezaan yang jelas pada skor simptom kesakitan, tetapi kami menilai hanya dua kajian bagi hasil ini. Tidak terdapat data yang mencukupi untuk menunjukkan jika ada perbezaan antara kumpulan-kumpulan untuk ukuran aliran darah yang dikenali sebagai indeks brakial pergelangan kaki. Kami tidak dapat menggabungkan data mengenai kualiti kehidupan atau jarak berjalan tanpa kesakitan (jarak seseorang boleh berjalan tanpa mengalami kesakitan kaki).
Kualiti bukti
Risiko bias kajian-kajian yang dimasukkan sangat pelbagai, dan ini menjadi kebimbangan kerana kajian-kajian tidak melaporkan dengan jelas kaedah-kaedah mereka ataupun rawatan susulan ke atas para peserta. Kebanyakan kajian menggunakan kawalan plasebo, yang meningkatkan risiko di mana hasil mungkin berbeza jika peserta mengetahui mereka diberi rawatan atau kawalan. Badan korporat yang menghasilkan rawatan yang diuji membiayai kesemua kajian-kajian yang dimasukkan.
Kualiti bukti adalah berbagai dari sederhana ke sangat rendah. Bagi kehidupan tanpa amputasi, amputasi major, dan kematian, kami pertimbangkan kualiti bukti sebagai sederhana kerana perbezaan antara kajian. Untuk penyembuhan ulser, terdapat kebimbangan risiko bias, dan keputusan kajian adalah tidak tepat kerana hanya beberapa keputusan sahaja dilaporkan. Kualiti bukti untuk kualiti kehidupan adalah sangat rendah kerana perbezaan antara kajian dan juga maklumat yang tidak mencukupi untuk digabungkan bagi melihat hasil penemuan kajian. Kualiti bukti untuk indeks brakial pergelangan kaki adalah rendah kerana hanya satu kajian dengan peserta yang sedikit melaporkan hasil ini. Untuk skor simptom kesakitan, kualiti bukti adalah sangat rendah kerana masalah teknikal di dalam satu daripada dua kajian, juga perbezaan diantara dua kajian ini dan jumlah peserta yang sedikit.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my