Kombinasi ubat-ubat sedutan yang manakah selamat dan berkesan untuk penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)?

Mesej utama

• Penggunaan alat sedut yang mengandungi antagonis muskarinik tindak balas panjang campur agonis beta tindak balas panjang (LAMA+LABA) bagi penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) mungkin meningkatkan fungsi pernafasan dan mengurangkan risiko radang paru-paru berbanding LABA campur kortikosteroid sedutan (LABA+ICS).

• LAMA+LABA dan LABA+ICS mungkin berfungsi sebaik setiap satu dalam mengurangkan eksaserbasi COPD dan meningkatkan kualiti hidup.

• Risiko kematian adalah sedikit lebih tinggi bagi individu yang mengambil LAMA+LABA.

Apakah penyakit paru-paru obstruktif kronik, dan bagaimana ia dirawat?

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah keadaan paru-paru jangka panjang yang dicirikan oleh batuk, penghasilan kahak (cecair dari paru-paru, iaitu flegma), dan kesukaran bernafas. 

COPD dirawat dengan ubat-ubatan yang dipanggil 'bronkodilator' yang memudahkan pernafasan dengan mengendurkan otot-otot dalam paru-paru dan melebarkan saluran udara. Dua jenis utama ubat bronkodilator ialah antagonis muskarinik tindak balas panjang (LAMA) dan agonis beta tindak balas panjang (LABA). Garis panduan penjagaan kesihatan kini mengesyorkan agar individu dengan COPD yang stabil dan berisiko tinggi menggunakan alat sedutan yang mengandungi sama ada ubat kombinasi LAMA+LABA atau kombinasi LABA campur ubatan kortikosteroid (LABA+ICS). Kortikosteroid adalah ubat anti-radang.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami memeriksa dapatan daripada ujian klinikal yang merawak peserta untuk menerima sama ada LAMA+LABA atau LABA+ICS untuk melihat perbandingan mereka.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji manfaat dan risiko LAMA+LABA serta LABA+ICS untuk rawatan mereka dengan COPD. Kami meringkaskan hasil-hasil ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti-bukti tersebut.

Apa yang kami jumpai?

Kami menyertai 19 kajian yang melibatkan 22,354 peserta. Kajian berlangsung daripada 6 hingga 52 minggu. Kajian itu memasukkan lebih ramai lelaki berbanding wanita (kira-kira 70% peserta adalah lelaki), dan orang dalam kajian itu berusia kira-kira 64 tahun. Kebanyakan kajian memasukkan orang dengan COPD sederhana hingga teruk. Syarikat farmaseutikal terlibat dalam kebanyakan kajian tersebut, yang mungkin memberi kesan kepada sejauh mana kita dapat mempercayai hasil-hasil tersebut.

Berbanding dengan LABA+ICS, LAMA+LABA menjurus kepada peningkatan dalam fungsi paru-paru, mengurangkan kes pneumonia dari 5% kepada 3%, tetapi meningkatkan risiko kematian daripada 1% kepada 1.4%. LAMA+LABA mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada eksaserbasi (keterukan) COPD berbanding dengan LABA+ICS. Peserta dalam setiap kumpulan rawatan melaporkan skor kualiti hidup yang serupa dan lebih kurang sama dalam kemungkinan mengalami kesan sampingan yang serius, sesuatu yang jarang berlaku. 

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga tinggi kerana kajian-kajian yang disertakan direka bentuk dengan baik dan melibatkan bilangan peserta yang mencukupi, dengan kebanyakannya adalah COPD sederhana hingga teruk.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah yang terkini setakat 10 Disember 2022. Keputusan dari kajian klinikal akan datang atau sekarang bagi menilai ubat-ubatan yang baru dibangunkan adalah dinantikan. Ulasan ini harus dikemas kini lagi dalam beberapa tahun.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information