Soalan ulasan
Dalam ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui apakah tahap kesejahteraan (kualiti hidup) orang dengan epilepsi dapat ditingkatkan dengan penyertaan dalam terapi psikologi berasaskan pendidikan atau kemahiran.
Kenapa ini penting?
Epilepsi adalah keadaan otak di mana letupan aktiviti elektrik yang kuat berlaku secara tiba-tiba di otak dan menyebabkan mesej otak bercampur-campur, mengakibatkan sawan. Sawan mempengaruhi orang dengan cara yang berbeza: mereka boleh menyebabkan sensasi yang tidak normal, pergerakan atau perasaan yang tidak biasa, kehilangan kesedaran, jatuh, kekakuan atau tersentak. Sawan epilepsi boleh berlaku berulang kali dan tanpa pencetus. Sawan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja; mereka boleh datang secara tiba-tiba dan sering berlaku.
Epilepsi boleh mempengaruhi kesejahteraan dan kualiti hidup seseorang dengan ketara. Sebagai contoh, ramai orang yang mengalami epilepsi mengalami kemurungan dan kegelisahan, masalah ingatan, pengangguran dan diskriminasi, kesan sampingan yang buruk daripada ubat-ubatan, cabaran terhadap kebebasan dan kebimbangan mengenai sawan dan akibatnya.
Rawatan untuk epilepsi biasanya menumpukan pada menghentikan atau mengurangkan jumlah sawan yang dialami oleh seseorang dengan kesan sampingan yang kurang. Walau bagaimanapun, terapi psikologi, yang biasanya diberikan oleh ahli psikologi, ahli psikiatri atau profesional penjagaan kesihatan yang lain dapat meningkatkan kesejahteraan pada orang dengan epilepsi.
Apa yang kami lakukan?
Pada 12 Ogos 2019, kami mencari kajian dalam pengkalan-pengkalan data yang mengukur kesan-kesan terapi psikologi terhadap kualiti hidup yang diberikan kepada orang yang mengalami epilepsi. Kami menemui 36 kajian yang melibatkan 3,526 orang dengan epilepsi. Peserta dari kebanyakan kajian adalah orang dewasa (27 kajian); hanya tiga kajian yang merangkumi remaja dan dewasa, dan enam melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Kebanyakkan kajian (27) mengukur kesan terapi psikologi "berdasarkan kemahiran". Rawatan ini mengajar orang kemahiran yang dapat mereka gunakan dalam kehidupan seharian mereka. Pendekatan rawatan terapi berasaskan kemahiran merangkumi: terapi tingkah laku kognitif (CBT) termasuk teknik CBT seperti pernafasan, menaakul atau visualisasi; kaunseling; dan latihan dengan penuh perhatian. Sembilan kajian lain mengukur terapi-terapi pendidikan. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan orang tentang epilepsi dan keadaan yang berkaitan, rawatan untuk epilepsi, atau tentang cara otak berfungsi. Kajian membandingkan kesan terapi psikologi dengan rawatan biasa, ubat antidepresan atau sokongan sosial.
36 kajian mempunyai reka bentuk yang berbeza dan menilai kualiti hidup orang menggunakan skala yang berbeza, jadi kami tidak dapat membandingkan semuanya. Namun, kami dapat membandingkan hasil dari 11 kajian terapi berasaskan kemahiran kerana mereka menggunakan skala yang sama untuk menilai kualiti hidup.
Apa yang kami temui?
11 kajian (melibatkan 643 orang dewasa dan remaja) dilakukan di Eropah (3 kajian), Amerika Syarikat (4), Hong Kong (2), Mexico (1) dan Australia (1). Orang dalam kajian itu diikuti dan dinilai dari 12 minggu hingga 2 tahun.
11 kajian mengukur aspek kualiti hidup yang berbeza. Orang yang menerima terapi psikologi berasaskan skill melaporkan kualiti hidup yang lebih baik keseluruhannya berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa (8 kajian), bantuan sosial (2) atau ubat antidepresi (1).
Sepuluh dari 11 kajian ini juga melihat subskala soal selidik kualiti hidup untuk menilai aspek kualiti hidup tertentu. Orang dalam kajian-kajian ini melaporkan hasil yang lebih baik pada enam subskala, - kesejahteraan emosi, tenaga dan keletihan, kesejahteraan keseluruhan, kebimbangan sawan, kesan ubat-ubatan, dan fungsi sosial, yang digabungkan dengan kualiti hidup keseluruhan yang dihitung.
Mesej utama
Kami membuat kesimpulan bahawa terapi psikologi berasaskan kemahiran dapat meningkatkan kesejahteraan (kualiti hidup) pada orang dewasa dan remaja dengan epilepsi.
Kami cukup yakin dengan hasil kami dari 11 kajian terapi psikologi ini pada orang dengan epilepsi. Kami percaya bahawa lebih banyak kajian mengenai hasil kualiti hidup yang spesifik ini tidak mungkin mengubah penemuan kami.
Ulasan ini adalah terkini sehingga 12 Ogos 2019.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my