Mesej utama
– Sama ada ultrasound menawarkan alternatif yang berpotensi berbanding sinar-X untuk mengesahkan penempatan tiub gastrik yang betul adalah tidak pasti.
– Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan ketepatan ultrasound untuk mengenal pasti tiub yang salah letak.
Apakah tiub gastrik dan mengapa ia digunakan?
Esofagus (paip makanan) adalah tiub otot yang menghubungkan mulut ke perut. Sekiranya seseorang tidak dapat menelan dengan betul, tiub gastrik boleh dimasukkan melalui hidung atau mulut untuk memasukkan ubat-ubatan atau makanan cair terus ke dalam perut. Penjagaan adalah diperlukan, kerana esofagus sangat dekat dengan trakea (paip angin), yang membolehkan udara bergerak ke paru-paru. Sekiranya tiub gastrik salah diletakkan dan makanan atau ubat-ubatan masuk ke trakea, ia boleh mengakibatkan jangkitan teruk di paru-paru (disebut radang paru-paru) atau komplikasi yang lain. Oleh itu, pengesahan penempatan tiub di perut selepas kemasukan tiub adalah penting. Penempatan yang betul biasanya diperiksa menggunakan sinar-X.
Mengapa menggantikan sinar-X dengan ultrasound untuk mengesahkan penempatan tiub gastrik penting?
Ultrasound adalah teknik pengimejan diagnostik yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej bahagian dalam badan. Ia boleh lebih dicapai dan mudah daripada sinar-X, terutamanya di lokasi dengan sumber yang terhad.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menentukan ketepatan ultrasound dalam mengesahkan penempatan tiub gastrik dan menilai potensinya untuk menggantikan sinar-X sebagai kaedah piawai.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menganalisis 22 kajian dengan 1939 peserta melihat pada ketepatan ultrasound untuk mengesahkan penempatan tiub gastrik.
Penemuan utama
Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa ultrasound berprestasi baik dalam mengesahkan penempatan tiub yang betul, tetapi terdapat data terhad mengenai penempatan tiub yang salah dan komplikasi yang berpotensi kerana hanya 152 peserta dalam kajian yang mempunyai tiub yang salah.
Kajian menggunakan tiga kaedah ultrasound: pendekatan leher, pendekatan atas abdomen, dan gabungan kedua-duanya.
Ultrasound sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan penempatan yang betul untuk tiub makan tetapi, apabila digabungkan dengan ujian yang lain, ia boleh berguna untuk mengesahkan tiub saliran gastrik.
Apakah batasan bukti?
Banyak kajian mempunyai kaedah yang lemah atau tidak jelas, jadi keyakinan kami terhadap bukti berkurang.
Hanya lapan daripada 22 kajian dianggap mewakili orang yang biasanya memerlukan tiub gastrik.
Keputusan berbeza-beza untuk penempatan tiub yang salah.
Penyelidikan masa depan
Kajian yang lebih besar diperlukan untuk menentukan sama ada ultrasound dapat menggantikan sinar-X untuk mengesahkan penempatan tiub gastrik dan sama ada ia dapat membantu mengurangkan komplikasi dari tiub yang salah letak.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).