Soalan ulasan
Untuk menilai keberkesanan senaman kawalan motor (MCE) untuk pesakit dengan sakit belakang bahagian bawah akut yang tidak spesifik (LBP).
Latarbelakang
LBP merupakan masalah yang sering berlaku dan keadaan ini menyebabkan kesakitan dan juga ketidakupayaan. Salah satu intervensi biasa bagi pesakit LBP adalah terapi senaman dan terapi MCE adalah yang biasa digunakan pada mereka. Walaubagaimanapun, keberkesanannya untuk pesakit LBP akut masih tidak jelas.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga April 2015.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan dalam ulasan ini tiga kajian yang menilai sakit akut atau sub-akut di kalangan pesakit LBP (n= 197 peserta). Kebanyakan peserta berumur separuh abad dan dari pusat rawatan primer atau tertier. Tempoh program rawatan adalah empat hingga enam minggu.
Keputusan-keputusan utama
MCE tidak menunjukkan manfaat berbanding terapi spinal manipulatif, bentuk senaman yang lain ataupun rawatan ubat untuk mengurangkan sakit atau ketidakupayaan di kalangan pesakit dengan LBP akut dan sub-akut. Sama ada MCE boleh mencegah perulangan LBP masih tidak jelas.
Kualiti bukti
Keputusan ulasan ini melibatkan bukti yang berkualiti sangat rendah sehingga sederhana. Kami menurunkan semua gred perbandingan ketepatan disebabkan saiz sampel kajian yang kecil.
Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli, Cyberjaya University College of Medical Sciences. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com