Intervensi untuk menyokong wanita yang berlebihan berat badan atau obes untuk memulakan dan meneruskan penyusuan

Apakah isunya?

Penyusuan susu ibu adalah penting untuk kesihatan ibu dan bayi mereka. Nasihat terkini adalah untuk terus menyusu eksklusif sehingga bayi berumur enam bulan. Bayi yang diberi susu formula berisiko tinggi untuk jangkitan, asma dan sindrom kematian bayi mengejut. Ibu-ibu yang tidak menyusui berisiko lebih tinggi untuk kanser wanita dan diabetes jenis 2. Wanita yang berlebihan berat badan atau obes kurang cenderung memulakan penyusuan bayi berbanding wanita lain dan cenderung menyusui bayi untuk masa yang lebih singkat. Sebab-sebab yang disyorkan termasuk faktor fizikal seperti payudara yang lebih besar, yang menyukarkan posisi tradisional penyusuan, dan kelewatan keluarnya susu (biasanya sekitar 72 jam). Ini mengurangkan keyakinan ibu terhadap bekalan susu mereka dan keupayaan menyusu. Faktor kebudayaan juga boleh mempengaruhi keputusan wanita memulakan dan meneruskan penyusuan, contohnya, cara keluarga dan rakan-rakan wanita memberi makan bayi mereka, keyakinan ibu mencapai matlamat penyusuan dan bagaimana wanita melihat tubuh sendiri.

Mengapakah ini penting?

Wanita yang berlebihan berat badan atau obes mengalami cabaran menyusui bayi yang boleh diatasi dengan galakan dan sokongan tambahan. Kami ingin mengetahui jenis sokongan yang diberi dan yang paling berkesan, sebelum dan selepas kelahiran. Intervensi termasuklah pendidikan, sokongan sosial dan kaedah fizikal seperti memerah susu.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti (Januari 2019) dan mengenal pasti tujuh kajian rawak terkawal (RCT), melibatkan 831 wanita (36 hingga 226 wanita), yang dijalankan di negara berpendapatan tinggi (AS, Denmark, Australia) di antara 2006 dan 2015. Hanya tiga kajian memasukkan wanita obes sebelum hamil dan empat kajian memasukkan wanita yang berlebihan berat badan dan wanita obes.

Kajian-kajian membandingkan pelbagai jenis sokongan penyusuan berbanding penjagaan biasa. Terdapat bilangan kajian yang terhad untuk setiap jenis sokongan, dan perbezaan-prerbezaan dalam berapa banyak sokongan yang diterima oleh wanita dalam kumpulan sokongan dan kumpulan penjagaan biasa.

Satu kajian (39 wanita) menggunakan intervensi sokongan fizikal melalui pinjaman pam susu elektrik atau manual erbanding penjagaan biasa (tiada pam). Bukti kepastian sangat rendah bermakna tidak jelas sama ada sokongan fizikal memperbaiki penyusuan eksklusif pada empat hingga enam minggu; atau sebarang penyusuan bayi selama empat hingga enam minggu. Kajian-kajian tidak melaporkan hasil penting lain yang menarik: tidak memulakan penyusuan bayi, dan eksklusif atau sebarang penyusuan bayi pada masa enam bulan selepas kelahiran.

Enam kajian (792 wanita) menggunakan pelbagai kaedah sokongan (termasuk pendidikan dan sokongan sosial melalui telefon atau hubungan bersemuka) berbanding penjagaan biasa. Satu kajian (174 wanita) tidak melaporkan sebarang hasil utama kami. Satu kajian menyediakan sokongan fizikal melalui pemberian pam payudara dan anduh bayi, dan satu lagi kajian memberi hadiah kecil kepada wanita pada setiap lawatan semasa kajian. Sokongan dalam kajian-kajian ini disediakan oleh seorang profesional (empat kajian) atau rakan sebaya (dua kajian), sama ada dalam satu kumpulan (satu kajian) atau secara individu (lima kajian).

Bagi wanita yang menerima intervensi melibatkan pelbagai kaedah sokongan (termasuk sokongan sosial, pendidikan atau fizikal) berbanding penjagaan biasa, kami tidak jelas tentang kesan intervensi kerana kami mengenal pasti bukti kepastian yang sangat rendah untuk semua hasil penting dalam ulasan ini: kadar tidak memulakan penyusuan; penyusuan eksklusif pada empat hingga enam minggu; sebarang penyusuan pada empat hingga enam minggu; kadar penyusuan eksklusif pada enam bulan selepas kelahiran; dan sebarang penyusuan pada enam bulan selepas kelahiran.

Apakah maksudnya?

Keberkesanan intervensi untuk menyokong wanita yang berlebihan berat badan atau obes untuk memulakan dan meneruskan penyusuan masih tidak jelas. Kaedah yang diguna oleh kajian sedia adalah berbeza-beza dalam kualiti, dengan bilangan peserta yang kecil. Tiada kajian membandingkan satu jenis sokongan kepada yang lain.

Kami memerlukan kajian berkualiti tinggi untuk menilai sama ada sokongan sosial, pendidikan, fizikal atau gabungan intervensi ini boleh memberi ibu-ibu yang berlebihan berat badan atau obes peluang terbaik untuk memulakan dan meneruskan penyusuan. Intervensi-intervensi perlu dirancang khusus untuk golongan wanita ini dan disampaikan oleh orang-orang yang memahami cabaran yang dihadapi oleh wanita ketika memulakan dan meneruskan penyusuan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information